Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Marilah Berusaha Menjadi Pandai

Gambar Hiasan

 

Tentu ramai yang bersetuju dengan kalimat pernyataan ini;

“Tiada orang lahir-lahir terus pandai. Semua kena belajar dan berusaha untuk mencapai sesuatu kejayaan.”

Jika tidak pandai maka perlu belajar, lambat pick up (lambat faham) bukanlah alasan untuk patahkan semangat sendiri.

Kunci untuk mencapai ke tahap pandai adalah tidak berputus asa berusaha. Tidak pandai adalah alasan paling bagus untuk belajar sampai pandai.

Kalau tidak mahir, buatlah berulang kali sampai mahir. Benar, jika kita tidak tahu sesuatu perkara atau tidak mahir, katakanlah sahaja;

“Aku Tidak Tahu”

Namun sampai bila hendak dibiarkan jawapan tidak tahu itu?

Penyelesaiannya adalah sampai kita bergerak untuk mencari ilmu, pergi belajar dan banyakkan bacaan, agar kita dapat ilmu mengenainya.

Untuk jadi bijak pandai, banyak yang perlu belajar serta membaca. Perlahan-perlahan mendaki anak tangga untuk mencapainya.

Bukan soal siapa yang paling pandai, tetapi tentang siapa yang mahu berusaha dan terus berusaha untuk menjadi pandai.

Berdoa dan bertawakal kepada Allah. Satu hari nanti pasti berjaya kalau kita ada usaha. Cepat atau lambat itu, Allah yang tentukan.

Berusahalah, setiap hari adalah peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita terus berusaha membaiki diri. Usah bersedih dan kecewa andai kegagalan itu menyapa.

Allah melihat setiap jerih-perih hambaNya yang berusaha bersungguh-sungguh dalam kebaikan. Begitulah jika ingin jadi baik, perlu banyak amalnya sehingga kita benar-benar jadi insan yang baik.

Dalam proses mahu jadi baik pun sudah pasti iman turun naik itu perkara biasa. Kita manusia, bukannya malaikat. Pasti ada salah dan silap.

Apa yang kita buat, hendaklah sentiasa Istighfar (memohon ampun dan taubat kepadaNya) walaupun mungkin kita rasa pada waktu itu tidak membuat kesalahan. InsyaAllah akan dipermudahkan urusan kita.

Sebenarnya ada kisah menarik bila menyentuh dengan sikap “Aku Tidak Tahu” ini. Saya pernah membaca tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman yang pernah ditulis di laman Facebooknya mengenai kewarakan Ibnu Umar R.A.

Beliau pernah ditanya tentang sesuatu perkara yang beliau tidak tahu. Maka dijawab oleh sahabat Nabi ini yakni Ibnu Umar R.A ialah:

“Aku Tidak tahu”

Kemudian beliau berkata lagi;

“Adakah kamu mahu menjadikan belakang kami sebagai jambatan kamu ke jahanam (neraka), kamu akanberkata: Ibnu Umar telah bagi fatwa kepada kami!”

Walaupun tulisan tersebut merujuk dan memberi nasihat kepada para pendakwah agar hendaklah bersikap warak dalam mengeluarkan pandangan, kalau tidak tahu jawab sahaja “Wallahu a’lam”.

Tetapi ia juga terpakai kepada semua pihak agar jangan tidak “tunjuk pandai”, sedangkan pada hakikatnya kita tiada ilmu mengenainya.

Tidak kisahlah dalam bidang apa jua sekali pun. Biarlah yang ahlinya dalam sesuatu perkara itu sahaja memberi pandangan.

Bahkan pernah satu ketika Imam Malik (pengasas Mazhab Maliki) sendiri pun pernah ditanya dengan berpuluh-puluh soalan. Hanya beberapa soalan sahaja dapat dijawab olehnya.

Bila ditanya, apakah jawapan hendak diberi nanti kepada orang ramai, sebab banyak soalan-soalan itu tidak dijawab oleh Imam Malik. Jawab Imam Malik. Katakanlah;

“Imam Malik tidak tahu”

Adalah baik kita mempunyai kerangka minda awal “Aku tidak tahu”. Jika tidak, kita akan merasakan diri sentiasa betul. Walaupun kita mungkin mengetahui dalam sesuatu bidang tetapi bukan bermakna kita sentiasa betul dalam apa jua hal.

Merasakan diri sentiasa betul adalah ciri-ciri Iblis. Rujuk semula kisah Iblis ketika diperintahkan sujud kepada Nabi Adam.

Hendaklah berhati-hati ketika memberi komen atau mengulas sesuatu isu, lebih-lebih lagi di media sosial. Jika diteliti kembali kata-kata Abraham Lincoln ini, ada juga kebenarannya.

Abraham Lincoln (1809 – 1865), mantan Presiden Amerika Syarikat pernah berkata;

“Lebih baik diam dan biarkan orang memikirkan kita bodoh, daripada bercakap dan mengesahkan diri kita benar-benar bodoh!”

Kesimpulannya, jika tidak pandai bulatkan tekad untuk belajar, andai tidak tahu sesuatu perkara, jangan pandai-pandai tunjuk pandai dan cubalah katakan “Aku Tidak Tahu”. InsyaAllah selesai masalah.

(Sumber: Tazkirah.net oleh Tim Tazkirah)

Komen


Berita Berkaitan