Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Manifesto BN turut terjemahkan aspirasi rakyat Sabah, Sarawak

TAN Sri Annuar Musa ketika sidang media di Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

KOTA KINABALU: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang akan diumumkan pada 7 April ini bukan saja menjadi satu harapan baharu kepada negara, tetapi turut menterjemahkan aspirasi rakyat dan hati nurani penduduk Sabah dan Sarawak.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberanikan diri mengambil satu pendekatan dengan memikirkan apa yang harus dipersiapkan untuk masa depan negara dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak mendapat perhatian khusus Perdana Menteri dalam Manifesto BN dan ini perlu ditunggu oleh rakyat negeri berkenaan.

“Perdana Menteri mengambil masa panjang dan teliti selain beberapa kali membuat perbincangan serta merujuk pelbagai pihak dalam pelaksanaan Manifesto BN ini.

“Komitmen BN ini menyatakan secara jelas masa depan Sabah dan Sarawak menerusi manifesto itu nanti kerana ia usaha untuk menjelmakan potensi sebenar kedua-dua negeri berkenaan sama ada dalam aspek sumber tenaga dan perpaduan nasional.

“Manifesto BN ini juga akan menjadikan Sabah dan Sarawak berada di hadapan, bukan lagi di sisi atau belakang.

“Saya berharap rakyat Sabah dan Sarawak menunggu 7 April ini apabila manifesto ini dikemukakan kerana ia adalah sesuatu yang besar kepada mereka, bukan retorik tetapi rancangan yang pasti akan dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Annuar yang juga Ketua Publisiti dan Penerangan BN, mahu semua Ketua Penerangan menyampaikan fakta berkaitan dengan Manifesto BN secara terus kepada rakyat dan pengundi di peringkat akar umbi, terutama menyentuh Sabah dan Sarawak.

“Bagi peringkat jentera penerangan, saya sudah berjumpa dengan Ketua Penerangan (Umno Sabah) malam tadi (semalam) di sini selain beberapa perbincangan pada minggu lalu, yang mana kita setuju Manifesto BN ini akan sampai ke kumpulan sasar dalam masa yang cepat.

“Ini bukan sekadar manifesto tetapi ia dibuat menggunakan pendekatan fikiran luar kotak. Kita membuat manifesto yang boleh kita laksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau yakin rakyat sudah bijak dan tidak terpengaruh dengan pendekatan populis walaupun banyak parti politik apabila menjelang PRU, menyenaraikan manifesto yang boleh menarik hati pengundi dengan pendekatan populis.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau puas hati dan bangga dengan kesiapsiagaan jentera parti BN di Sabah dalam menghadapi PRU14 ini.

“Ini menandakan jentera BN mengikuti garis panduan yang kita berikan dan boleh dikatakan Sabah agak ke hadapan dari segi kesiapsiagaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau percaya kesedaran politik di Sabah amat tinggi sekali gus tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pihak tertentu, termasuk pembangkang.

“Kesedaran politik di Sabah amat tinggi berbanding negeri lain, mungkin kerana pengalaman yang banyak mengajar apa yang baik untuk rakyat di neegeri ini. Sebab itu, saya tidak risau dengan ancaman dari pembangkang seperti membawa slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dimainkan parti pembangkang, termasuk Warisan (Parti Warisan Sabah).

“Saya tahu rakyat kita sudah bijak, termasuk di Sabah, dan Warisan adalah (digunakan) untuk survival politik Datuk Shafie (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal), oleh itu kita kena fikir sebaiknya,” katanya sambil menyatakan rasa yakin rakyat Sabah akan terus menyokong BN. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan