Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malbatt 850-1 Kibarkan Bendera Tradisi Pengaman Malaysia

malbatt

MARAKAH (LUBNAN)– Perjalanan darat dari ibu negara Lubnan, Beirut, ke sini mengambil masa kira-kira dua jam merentasi kawasan luar bandar yang dipenuhi kebun pisang, ladang oren dan buah zaitun yang tumbuh subur.

Sepanjang perjalanan menuju ke selatan, blok pangsapuri dan rumah memenuhi kawasan bukit-bukit berbatu di satu bahagian manakala Mediterranean di bahagian yang lain.

Pos pemeriksaan tentera di sepanjang perjalanan menunjukkan keadaan keselamatan di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel, yang regimnya dikutuk hebat kerana melancarkan serangan ganas terhadap sasaran di Semenanjung Gaza.

Laluan menjadi semakin sempit ketika perjalanan menyusuri kawasan yang berbukit sebelum kelihatan Kem Marakah, yang menempatkan Malaysian Battalion (MALBATT) 850-1.

Kem itu, yang menempatkan 850 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pasukan Interim Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), sibuk dengan aktiviti menyambut Menteri Pertahahan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang akan melakukan lawatan sulung ke kem itu pada Selasa dan Rabu.

Hishammuddin akan berada di sini untuk meninjau secara dekat tugasan dan keperluan MALBATT 850-1, iaitu lawatan penyuntik semangat yang kebetulannya diadakan pada Ramadan.

Menurut jadual acaranya, selain Marakah, Hishammuddin dijadual melawat dua lagi kem di bawah Malbatt – Tibnin dan Shamrock.

Beliau dijangka menghadiri majlis berbuka puasa bersama-sama anggota Malbatt 850-1, yang mandat di bawah UNIFIL bermula dari 23 Okt 2013 hingga 28 Sept 2014, dan menyampaikan sumbangan kuih raya sempena Aidilfitri hujung bulan ini.

Sempena lawatan itu, Monumen 1Malaysia di Dataran 1Malaysia Kem Marakah akan dirasmikan selain Hishammuddin dijadual mengunjungi markas UNIFIL di Naquora.

Anggota ATM menyambut Ramadan di bumi bergolak ini sama seperti mereka menyambut bulan mulia itu di Malaysia dengan bersahur dan menunaikan solat tarawih dan aktiviti agama lain di Masjid Kawkaba yang terletak dalam perkarangan kem.

Sebagai negara yang cintakan keamanan, Malaysia telah menghantar anggota tenteranya ke beberapa penjuru terpencil di dunia di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menjamin keamanan di kawasan-kawasan bergolak.

Malaysia bukan baru menyertai operasi pengaman PBB kerana ia pernah menghantar kontinjen tenteranya untuk menyertai pasukan pengaman di Kongo, Selatan Sudan, Sahara Barat serta Afghanistan, Bosnia dan Somalia.

Menurut Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Hanif, Malaysia telah menyertai kira-kira 30 operasi pengaman PBB dengan penghantaran seramai 29,000 anggota sejak 1960.

Penglibatan ATM dalam UNIFIL bermula pada 2007 berikutan konflik antara pejuang Hezbollah dan Pasukan Pertahanan Israel antara Julai dan Ogos 2006 yang menyaksikan lebih 1,100 orang awam terbunuh dan 4,092 cedera.

Konflik selama 34 hari itu berakhir apabila Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi 1701, yang antara lain, menggesa badan dunia menghantar pasukan pengaman.

ATM kemudian menghantar tenteranya ke Lubnan di bawah misi Malcon, Malcoy dan Malbatt.

Hasil penggabungan Malbatt dan Malcoy pada Julai 2013, misi Malbatt 850-1 dari 23 Okt 2013 hingga 28 Sept 2014 di Lubnan diletakkan di bawah Sektor Barat UNIFIL.

Sebanyak 51 daerah di sektor itu diletakkan di bawah Malbatt 850-1 yang anggotanya juga merangkumi Angkatan Tentera Brunei.– BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan