Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,636

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Malaysia Tingkat Keselamatan Di Lapangan Terbang, Kata Liow

6:25pm 15/11/2015 Pak Roshan 63 views Mutakhir,Nasional

liow-tiong-lai-mca

IPOH – Kerajaan akan meningkatkan kawalan keselamatan di pintu masuk negara terutamanya lapangan terbang susulan serangan di Paris pada Jumaat lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pihak kerajaan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga bagi memastikan negara sentiasa aman dan selamat daripada serangan seperti itu.

“Insiden tidak berperikemanusiaan itu telah mengganggu-gugat keharmonian dan kesejahteraan rakyat … sebenarnya kerajaan telah diberikan amaran lebih awal.

“Saya fikir anda juga tahu Amerika Syarikat telah memberikan amaran kepada kerajaan tentang kes (ancaman letupan bom oleh pengganas) di Jalan Alor (di Kuala Lumpur) dan polis telah mengesan beberapa aktivis di negara ini dan ada yang telah ditahan,” katanya.

Malaysia sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dan akan terus berbuat demikian, katanya dalam sidang media selepas majlis pecah tanah bangunan baharu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Poi Lam di sini hari ini.

Menurut laporan, lebih 100 orang terbunuh dalam serangan di Paris pada Jumaat malam di sebuah dewan konsert, restoran-restoran di pusat bandar dan berdekatan stadium Stade de France.

Liow berkata puak ekstremis merupakan isu dunia ketika ini yang boleh memberi kesan buruk kepada negara dan ekonomi.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ancaman IS (kumpulan militan yang didakwa bertanggungjawab bagi serangan di Paris) yang telah mengorbankan begitu banyak,” katanya.

Katanya, kerajaan mengucapkan terima kasih kepada pihak polis kerana sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan daripada serangan IS di negara ini.

“Kami berharap rakyat sentiasa bersatu padu, kita sama-sama berdoa keamanan negara dan berharap dunia dapat memastikan keamanan dan juga memastikan tindakan pengganas dapat dihentikan,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan