Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malaysia Perkukuh Kerjasama Sektor Pertanian Dan Perhutanan Dengan Negara Asean

asean

KOTA KINABALU: Malaysia melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan meluaskan dan mengukuhkan kerjasama dalam sektor pertanian dan perhutanan dengan negara anggota Asean menerusi tiga mesyuarat khas yang berlangsung di sini selama empat hari bermula semalam.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini Rabu, mesyuarat berkenaan adalah Mesyuarat Khas Ke-35 Pegawai-Pegawai Kanan Pertanian dan Perhutanan Asean (AMAF); Mesyuarat Khas Ke-13 Pegawai-Pegawai Kanan Pertanian dan Perhutanan Asean Campur Tiga dan Mesyuarat Pertama Pegawai Kanan Pertanian Asean-Persekutuan Rusia.

“Mesyuarat ini merupakan mesyuarat persediaan yang melibatkan Pegawai Kanan Pertanian dan Perhutanan Asean dan Rakan Dialog iaitu Republik Rakyat China, Jepun, Korea Selatan dan Persekutuan Rusia.

“Ia bakal membincangkan pelbagai isu merangkumi dasar, pencapaian pelaksanaan dan cadangan-cadangan baharu kerjasama dalam sektor pertanian dan perhutanan dalam kalangan negara anggota Asean sebelum dikemukakan pada mesyuarat AMAF ke-36 yang akan diadakan pada 23 dan 24 Sept ini di Nay Pyi Taw, Myanmar untuk pertimbangan peringkat menteri,” katanya.

Mesyuarat AMAF merupakan mesyuarat berjadual di bawah rangka kerjasama Asean yang telah diadakan sejak tahun 1979 dan merupakan mesyuarat tahunan negara Asean khusus dalam sektor pertanian dan perhutanan, termasuk subsektor komoditi dan makanan.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu merupakan komitmen kepada pelaksanaan Pelan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) selain lanjutan daripada Kepengerusian AMAF oleh Malaysia melalui penganjuran Mesyuarat Ke-35 AMAF yang diadakan di Kuala Lumpur tahun lepas.

Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) kementerian Datuk Raihan Sharif dalam ucapan pembukaan mesyuarat itu berkata mesyuarat akan menyentuh pelbagai kerjasama dijalin dalam AMAF melalui jaminan bekalan makanan, keselamatan makanan, koperasi pertanian, perhutanan, kerjasama bersama dalam pertanian dan promosi hasil perhutanan.

“Kerjasama Asean dalam bidang makanan, pertanian dan perhutanan dalam suasana globalisasi perdagangan hari ini lebih fokus kepada penambahbaikan saingan produk tempatan dalam pasaran antarabangsa selain daripada mengekalkan hasil pertanian.

“Pengharmonian kualiti dan standard, jaminan keselamatan makanan dan standard perdagangan adalah antara perkara yang diberi perhatian dengan mengambil kira pengalaman negara anggota Asean yang lainnya serta standard antarabangsa sedia ada,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat juga akan turut membicangkan inisiatif yang diterajui Malaysia bersama Asean melalui penubuhan Majlis Benih Asean.

Malaysia menyedari Asean perlu membangunkan satu mekanisme yang efisien bagi memastikan bekalan biji benih mencukupi dan berkualiti,” katanya.

Raihan berkata perkara itu akan dapat dilaksanakan melalui sistem pengeluaran yang cekap dan kawalan kualiti biji benih mengikut piawaian antarabangsa bagi memastikan jaminan bekalan makanan di rantau ini terjamin amnya dan di Malaysia khususnya.

Malaysia juga membawa cadangan penubuhan Dana Inovatif Asean dalam Mesyuarat Pegawai Kanan dan Perhutanan Asean di sini dan bersedia untuk menerajui penubuhan dana ini yang akan membantu perkembangan sektor penyelidikan dan pembangunan dalam bidang pertanian dan bidang berkaitan serantau, katanya.

Beliau berkata penganjuran mesyuarat itu dan Malaysia sebagai pengerusi adalah relevan dan signifikan bagi mencapai matlamat menjadikan rantau Asean sebagai satu pasaran dan pusat pengeluar tunggal.

Raihan berkata penekanan kepada inisiatif sedia ada serta yang baru diterokai dalam sektor pertanian dan perhutanan seperti yang digariskan dalam rangka tindakan Komuniti Ekonomi Asean adalah penting bagi memastikan perkembangan kemajuan dapat dicapai secara sama rata di setiap negara Asean.

Komen


Berita Berkaitan