Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malaysia hargai sokongan dunia- PM

najib dunia

KUALA LUMPUR– Malaysia amat menghargai sokongan pemimpin-pemimpin dunia yang menyatakan simpati dan menghulur tangan persahabatan sejak berlaku nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine, Khamis lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejak krisis bermula, beliau telah bercakap dengan Presiden Ukraine Petro Poroshenko yang mendesak siasatan menyeluruh ke atas tragedi MH17 dijalankan segera.

Najib juga menekankan kepada Presiden Rusia Vladimir Putin akan kepentingan pasukan penyiasat antarabangsa diberi kebenaran memasuki lokasi kejadian.

“Presiden Putin menegaskan bahawa beliau akan menggunakan pengaruhnya untuk membenarkan pasukan penyiasat memulakan kerja-kerja mereka.

“Beliau juga berharap Presiden Ukraine akan bersetuju kepada satu tempoh genjatan senjata sementara,” kata Najib dalam laman Facebook beliau hari ini.

Najib berkata Presiden Amerika Syarikat Barack Obama turut menelefonnya untuk menyampaikan takziah dan mereka bersetuju bahawa sebuah pasukan antarabangsa harus dibenarkan memasuki lokasi kejadian, dan tiada siapa patut menganggu sebarang bukti termasuk kotak hitam pesawat.

Obama juga menawarkan bantuan segera untuk penubuhan pasukan penyiasat antarabangsa dan mengulangi pendirian beliau terhadap hubungan baik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, kata Najib.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, melalui Presidennya Eugene-Richard Gasana turut mendesak penyiasatan penuh dan bebas berdasarkan undang-undang penerbangan sivil antarabangsa.

“Majlis Keselamatan juga menekankan kepada pihak-pihak terbabit agar membenarkan pasukan penyiasat memasuki lokasi kejadian untuk mengenalpasti punca tragedi ini,” katanya yang juga sudah menyampaikan ucapan takziah kepada Perdana Menteri Australia Tony Abbott atas kehilangan rakyat Australia dalam tragedi itu.

Najib berkata rakyat Malaysia harus kekal tabah dan bersatu dalam menghadapi krisis itu, dan terus berdoa agar negara dijauhkan dari malapetaka.

MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari waktu Netherlands Khamis dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi waktu Malaysia, hari berikutnya.

Komen


Berita Berkaitan