Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Malaysia Dijangka Alami Jerebu Dan La Nina Jun – Oktober

9:10am 12/05/2016 Pak Roshan 264 views Mutakhir,Nasional
gambar hiasan

gambar hiasan

PUTRAJAYA – Malaysia dijangka berdepan masalah jerebu bermula bulan hadapan hingga Oktober berikutan cuaca panas dan kering di Wilayah Sumatera serta Kalimantan, Indonesia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata impak jerebu itu bagaimanapun mungkin berada pada tahap sederhana berikutan fenomena La Nina diramal berlaku pada tempoh sama yang menyebabkan hujan di beberapa kawasan di Semenanjung.

Katanya keadaan cuaca sedemikian diramalkan berdasarkan kajian yang dilakukan Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura.

“Mengikut kajian tersebut, keadaan cuaca panas dan kering boleh menyebabkan berlakunya kebakaran tanah gambut dan asapnya akan ditiup angin ke Malaysia yang menyebabkan jerebu.

“Namun, hujan yang diramal berlaku pada tempoh sama yang mungkin menyebabkan banjir di beberapa negeri terutama Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka membantu mengurangkan kesan pencemaran jerebu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Wan Junaidi berkata perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Wilayah Sumatera dalam menangani masalah jerebu yang ditandatangani sebelum ini tidak akan dilaksanakan sebaliknya masalah jerebu rentas sempadan itu akan ditangani secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Beliau berkata pihaknya menerima baik penjelasan Indonesia untuk tidak meneruskan kerjasama itu kerana selain tidak efektif, ia sebenarnya hanya perjanjian dengan kerajaan tempatan Sumatera, sedangkan masalah jerebu memerlukan kerjasama kerajaan Indonesia.

Untuk itu, katanya, satu mesyuarat teknikal bagi membincangkan instrumen yang bakal digunakan di bawah G2G berkenaan akan diadakan di Indonesia pada 30 Mei ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata cadangan Malaysia supaya kajian penilaian impak jerebu yang melanda rantau ASEAN tahun lepas dilaksanakan dipersetujui pada mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Singapura, Rabu lepas.

Beliau berkata Sekretariat ASEAN telah ditugaskan untuk mengumpulkan data-data berkaitan dari setiap negara bagi mengenal pasti impak jerebu kepada ekonomi, kesihatan dan sosial.

Katanya perkara itu telah dimaklumkan kepada mesyuarat jemaah menteri hari ini di mana kementerian atau agensi berkaitan yang terjejas akibat jerebu diminta menyediakan data atau maklumat yang diperlukan untuk tindakan lanjut kementeriannya.

“Kita harap maklumat ini dapat dikumpulkan secepat mungkin bagi diserahkan kepada pihak sekretariat untuk dibentangkan bagi tindakan Indonesia mengenai apakah kesan jerebu daripada negara itu kepada Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan