Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,702

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Malaysia Bertemu Thailand Di Final

10:36am 04/06/2016 Pak Roshan 778 views Mutakhir,Sukan

bola

MELAKA – Pasukan negara menempah tiket ke final bertemu Thailand dalam kejohanan bola sepak bawah 21 tahun Piala Negara-Negara setelah menundukkan Singapura 3-0 di Stadium Hang Jebat, Krubong di sini malam ini.

Biarpun mendahului seawal minit ketiga menerusi Muhammad Safawi Rasid, skuad negara tampak gugup pada awal permainan dengan hantaran kurang kemas dan kerap kehilangan bola, sebelum dapat memperkemaskan permainan mereka.

Skuad negara kendalian jurulatih kelahiran Jerman, Frank Bernhardt mendahului apabila sepakan percuma penyerang Muhd Jafri Md Firdaus Chew gagal ditepis kemas penjaga gol Singapura, Muhd Zharfan Rohaizad sebelum pemain sayap Muhammad Safawi pantas melakukan susulan untuk menjaringkan gol pertama.

Singapura yang dilatih Richard Francis Emile Tardy hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-34 apabila pemain tengahnya Joshua Bernard Pereira berjaya merampas bola hasil kesilapan pertahanan Malaysia, namun rembatannya di luar kotak penalti sedikit tersasar.

Malaysia memperoleh peluang keemasan pada minit ke-40 apabila Nur Syamie Iszuan Amin berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol setelah merampas bola daripada pertahanan Singapura, namun pemain sayap itu memilih menghantar bola kepada rakan, sekali gus membolehkan Muhd Zharfan menyelamatkan gawangnya.

Muhd Jafri sekali lagi menjadi igauan ngeri buat Muhd Zharfan pada minit ke-45 apabila meledak sepakan percuma yang gagal didakap kemas penjaga gol itu, namun pemain Malaysia gagal melakukan tindakan susulan.

Enam minit selepas babak kedua bermula, Malaysia memperoleh gol kedua setelah pemain gantian Muhammad Syafiq Ahmad menjaringkan gol hasil salah faham antara Muhd Zharfan dan barisan pertahanannya.

Kemasukan pemain sayap lincah Malaysia, Mohammad Farhan Roslan pada minit ke-56 berjaya mengucar-kacir pertahanan lawan dan hampir mendapat gol ketiga negara pada minit ke-74 tetapi rembatan dalam kotak penalti, berjaya diselamatkan Muhd Zharfan.

Mohammad Farhan membuktikan betapa beliau harus menjadi pemain digeruni pada kejohanan ini apabila membuat larian deras di sebelah kiri padang untuk
menyambut hantaran tinggi rakannya sebelum membuat hantaran lintang yang disudahkan Nur Syamie untuk gol ketiga Malaysia pada minit ke-83.

Singapura cuba mengurangkan defisit tetapi rembatan pemain gantian Muhd Amiruldin Asraf Muhd Nodin pada minit ke-89, sedikit tersasar.

Perlawanan akhir antara Malaysia dan Thailand dijadualkan berlangsung pada Ahad malam di Stadium Hang Jebat manakala penentuan tempat ketiga dan keempat antara Singapura dan Vietnam akan diadakan pada sebelah petang di gelanggang yang sama. – BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan