Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malaysia-Amerika Akhiri Latihan Tentera Lapan Hari Di Tanduo Hari Ini

traininng

LAHAD DATU– Malaysia dan Amerika hari ini mengakhiri latihan tentera amfibia (MALUS AMPHEX 2014) selama lapan hari di Kampung Tanduo, kira-kira 150km dari sini dengan memperbaharui komitmen masing-masing untuk menjamin wujudnya keamanan, kestabilan dan keselamatan jangka panjang di Malaysia, khususnya di timur Sabah.

Kira-kira 500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 285 anggota pasukan marin dan kelasi daripada 11th Marine Expeditionary Unit menyertai latihan itu di Tanduo dan kawasan sekitarnya.

Tanduo adalah tempat pendaratan pengganas Sulu awal tahun lepas.

Bercakap pada upacara tamat latihan itu, Panglima Tentera Darat Malaysia Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata MALUS AMPHEX 2014, latihan tentera bersama Malaysia-Amerika yang julung kali diadakan di Sabah, antara lain disusun bagi memupuk dan mengeratkan hubungan sedia ada antara rakyat kedua-dua negara.

“Kehadiran tentera Amerika di perairan ini (di luar pantai timur Sabah) amat bertepatan dengan dasar kami untuk menjalin kerjasama dengan pasukan kepolisian dari negara sahabat dan kuat di sini.

“Berikutan kejadian rentas sempadan yang kerap berlaku kebelakangan ini di perairan kami, kerjasama tentera Malaysia-Amerika ini adalah seiring dengan komitmen kami untuk membasmi ancaman yang melanda bahagian negara kami di sebelah sini sejak beberapa dekad lepas,” katanya.

Raja Mohamed Affandi mewakili Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin pada majlis itu.

Turut hadir pemerintah Pasukan Marin Amerika di Pasifik Lt Jen John Toolan Jr dan Panglima Markas Bersama ATM Lt Jen Datuk Seri Affendi Buang.

Raja Mohamed Affandi berkata latihan itu memberi fokus terhadap pendaratan kelengkapan amfibia, program tindakan awam kejuruteraan dan program tindakan sivik perubatan.

Katanya latihan itu memberi banyak manfaat kepada ATM dalam menangani ancaman rentas sempadan.

“Kehadiran Amerika di sini membantu menyumbang kepada kesejahteraan dan keselamatan wilayah Malaysia di sebelah sini. Walaupun ini bukan latihan berskala besar, tetapi ia merupakan satu platform baik bagi kami untuk diambil manfaat dan beransur-ansur meningkatkan skalanya pada masa akan datang.

“Kami berharap dapat mengadakan kerjasama perkara serupa pada masa akan datang, mungkin meningkatkan tahap latihan ini supaya ia mencapai kesan positif dalam mempertahankan negeri Sabah,” katanya.

Raja Mohamed Affandi kemudian memberitahu pemberita bahawa Malaysia kini berada dalam kedudukan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk ancaman rentas sempadan atau pencerobohan berikutan kejayaan MALUS AMPHEX 2014.

“Pasukan kami mendapat banyak manfaat daripada latihan yang diadakan dengan Amerika ini, terutama dari segi pengetahuan dan pengalaman,” katanya sambil menyuarakan harapan agar Malaysia dan Amerika terus mengadakan latihan seperti itu demi kebaikan bersama.

Sementara itu, Toolan berkata Amerika komited membantu Malaysia memerangi ancaman rentas sempadan.

“Kami maklum tentang ancaman keselamatan di wilayah Malaysia sebelah sini (timur Sabah), dan kehadiran kami ini merupakan isyarat jelas bahawa kami sedia membantu Malaysia,” katanya sambil menegaskan bahawa anggota tentera darat Malaysia mempamerkan kemampuan hebat mereka dalam latihan itu.

Toolan berkata latihan bersama itu pasti mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama ketenteraan sedia ada antara kedua-dua negara.

 

Komen


Berita Berkaitan