Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Malaysia akan rayu kuota haji

Untitled-1

KUALA LUMPUR: Malaysia akan cuba mendapatkan kuota tambahan jemaah haji daripada kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan ibadah itu tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pengurangan kuota haji sejak tahun lepas dan peningkatan jumlah pendeposit Tabung Haji (TH) menyebabkan lebih ramai umat Islam di negara ini terpaksa menunggu giliran yang lama untuk mengerjakan haji.

Kata Najib, sehingga Mei lepas, seramai 1.5 juta umat Islam mendaftar untuk mengerjakan haji dengan sejumlah besar daripadanya adalah golongan muda dan kanak-kanak.

“Ini gambaran tahap ekonomi umat Islam negara ini semakin baik dengan semangat dan kesedaran untuk menunaikan haji yang tinggi. Namun senarai yang semakin panjang dan jumlah kuota yang terbatas menyebabkan ia mengambil masa kira-kira 50 tahun sebelum tiba giliran masing-masing.

“Saya menganggap ini suatu cabaran besar dan kita termasuk saya sendiri akan cuba merayu supaya kerajaan Saudi dapat pertimbangkan kuota tambahan bagi mereka yang ingin menunaikan haji,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tabung Haji Debit-i Mastercard dan buku mewah TH di ibu negara, Khamis.

Perdana Menteri berkata sejak 2009, kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun berkurangan sebanyak 20 peratus sejak tahun lepas berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

“Oleh yang demikian, sejak tahun lepas, kuota Haji baru bagi Malaysia adalah sebanyak 22,320,” katanya dan menambah bahawa Tabung Haji akan mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 seorang pada tahun ini yang melibatkan jumlah keseluruhan tanggungan kos haji melebihi RM130 juta dan kos sebenar bagi setiap jemaah haji untuk menunaikan ibadah tersebut adalah kira-kira RM16,000.

“Kalau dikira daripada segi subsidi, ini merupakan kadar subsidi tertinggi yang pernah kita berikan bagi tiap-tiap seorang individu di negara ini,” katanya.

Kad Tabung Haji Debit-i Mastercard yang dilancarkan Khamis memberi kemudahan 24 jam kepada pendeposit Tabung Haji untuk melakukan transaksi pengeluaran dan pembelian di lebih 38 juta lokasi perniagaan di seluruh dunia.

Pada majlis itu, Najib melancarkan buku mewah yang mendokumentasikan peristiwa penting sepanjang 50 tahun penubuhan Tabung Haji. Buku Tabung Haji itu diterbitkan dengan usahasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Komen


Berita Berkaitan