Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Makanan tradisi masyarakat Kadazandusun

Hinava
Hinava

PAPAR- Sabah cukup terkenal dengan kecantikan alam semula jadinya yang tersendiri, maka itu tidak hairanlah pelancong dari luar negara berpusu-pusu untuk berkunjung ke Negeri Bawah Bayu ini.

Selain daripada berkunjung ke tempat-tempat peranginan di Sabah, pelbagai lagi faktor lain yang menjadi tarikan mereka ke sini.

Antaranya, keharmonian pelbagai etnik yang diamalkan oleh rakyatnya yang menjadikan Sabah negeri terbaik di Malaysia daripada sudut ragam budaya, kepercayaan dan tidak lupa juga dengan kepelbagaian makanan tradisi.

Makanan tradisi merupakan salah satu tarikan utama pelancong berkunjung ke Sabah. Bagi pelancong yang gemar dengan makanan-makanan tradisi, tidak lengkap sekiranya mereka tidak menjamu keenakan makanan di sini.

Antara makanan tradisi di Sabah yang terkenal ialah Hinava. Biasanya, makanan tradisi zaman dahulu ini diproses atau di masak tanpa menggunakan minyak. Makanan tradisi itu akan direbus, dipanggang dan dijeruk.

Hinava merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Kadazandusun. Dalam sebuah pameran yang diadakan di Inap Desa Koposizon Papar, Hinava merupakan salah satu hidangan yang wajib di situ.

Hinava merupakan salad ikan yang diperap dengan limau, garam, cili dan bawang cincang serta halia.

Tuhau
Tuhau

Makanan tradisional lain pula ialah Tuhau yang diperbuat daripada halia liar dan dicincang serta dicampur dengan bahan-bahan seperti cili dan garam.

Biasanya, Tuhau lebih enak dimakan bersama dengan makanan istimewa iaitu jeruk Bambangan iaitu sejenis mangga yang terdapat di Borneo. Buah bambangan ini boleh dijeruk atau dimasak dengan ‘Pinarasakan’ atau ikan rebus dengan kunyit dan buah masam ‘takob Akob’ kulit.

Selain daripada Hinava dan Tuhau, Bosou juga menjadi kegemaran ramai. Bosou diperbuat daripada ikan sungai mentah. Ikan tersebut dijeruk bersama dengan herba tempatan, garam dan nasi sejuk.

Bosou dijeruk sekurang-kurangnya selama dua minggu dan setelah sampai tempoh itu ia boleh dihidangkan bersama limau, cili dan halia cincang.

Bagi sesetengah orang, Bosou akan dimasak terlebih dahulu sebelum dimakan namun ada juga orang yang lebih gemar memakan Bosou tanpa digoreng.

Bosou enak dimakan bersama dengan Ambuyat. Ambuyat pula merupakan sejenis hidangan tradisional yang diperbuat diperolehi daripada tepung sagu rumbia.

Butod
seorang ibu sedang mengoreng Butod

Lagi satu jenis makanan tradisi ialah Butod, Butod merupakan sejenis ulat. Bagi penggemar makanan ini, ia boleh digoreng bersama dengan bawang merah dan bawang putih. Menurut penggemar Butod rasanya begitu enak dan mempunyai rasa seperti keju.

Jurucakap di Inap Desa Koposizan, William Lee berharap pameran makanan tradisional itu akan berjaya mempromosikan makanan tradisi masyarakat kaum kadazandusun kepada orang ramai.

“Pelancong kami menjadi sebahagian daripada keluarga kami sendiri, kami melayan mereka dengan hormat dan ia boleh menunjukkan budaya dan keaslian tradisi kami. Kami juga berkongsi pelbagai jenis makanan disamping menunjukkan kepada mereka bagaimana ia disediakan,” katanya, ketika ditemui SayangSabah dalam pameran itu.

Menurut beliau, pesta makanan yang dijalankan selama lebih kurang empat tahun itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelancong dan juga penduduk kampung dan peserta Program Inap Desa di sana.- oleh Dewiana Tinggolongon / SayangSabah.

Komen


Berita Berkaitan