Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Majlis Perbandaran Sandakan Keluar 1,058 Kompaun Anti Sampah

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

SANDAKAN : Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) mengeluarkan 1,058 kompaun Anti Sampah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam MPS, Lily Aw Lai Kheng.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah membuang sampah di kawasan awam, meludah di kawasan awam dan membuang sisa binaan di tempat awam.

Katanya kategori penerima terdiri daripada perseorangan sebanyak 846, Perumahan (59), Restoran/Gerai (53), Syarikat/Kedai (39), Kenderaan (32), Bangunan (26) dan Bengkel (tiga).

“Sebanyak 50 hingga 60 peratus sahaja yang menjelaskan kompaun tersebut, manakala selebihnya lambat membayar atau tidak membayar langsung,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Awam MPS di sini, hari ini.

Menurutnya kompaun dikenakan di bawah Pelaksanaan Undang-Undang Kecil Anti-Kekotoran dari RM100 hingga RM5,000.

Katanya alamat yang tidak penuh dalam kad pengenalan diri pelaku menyebabkan banyak kompaun tidak dijelaskan kerana sukar disampaikan kepada pelaku.

Menurutnya terdapat cadangan agar denda yang diberikan tidak tertumpu kepada bentuk wang sahaja tetapi berbentuk kesedaran sivik seperti melakukan kerja amal membersihkan kawasan awam.

Beliau berkata ia bagi memastikan pelaku tidak mengulangi kesalahan mereka.

Menurutnya cadangan tersebut masih lagi diperingkat perbincangan sebelum dikemukakan pada mesyuarat penuh MPS.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan