Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan derma RM551,569 buat mangsa gempa bumi

Jamil Khir menyampaikan cek sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada Musa bagi membantu mangsa gempa bumi  di Ranau. - foto Alex Mairin / SayangSabah
Jamil Khir (empat dari kanan) menyampaikan cek sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada Musa (tengah) bagi membantu mangsa gempa bumi di Ranau. – foto Alex Mairin / SayangSabah

KOTA KINABALU – Bantuan mangsa gempa bumi di Ranau terus mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dan terbaharu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menyampaikan sumbangan lebih setengah juta ringgit kepada kerajaan negeri ini.

Majlis penyampaian cek bantuan berjumlah RM551,569 itu diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Musa berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sumbangan yang dikumpul agensi dan badan keagamaan Islam tersebut bagi mangsa gempa bumi di Ranau.

“Kita amat terharu dengan sumbangan yang diberikan ini khusus untuk memperbaiki masjid dan surau akibat gempa bumi pada awal bulan lalu. Sudah tentu peruntukan ini dapat menolong meskipun kita juga ada peruntukan tertentu, ditambah peruntukan ini sudah tentu dapat meringankan beban kita di Sabah.

“Sumbangan ini dapat melahirkan perasaan kekitaan apatahlagi dalam bulan Ramadan. Justeru, saya bagi pihak kerajaan negeri terutama penduduk di Ranau mengucapkan terima kasih di atas bantuan ini,” katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, kutipan derma itu dikumpul oleh agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (Jawip) dan Tabung Haji di bawah kementeriannya.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri atas pertemuan ini. Harapan kita, paling tidak sedikit sebanyak dapat memberikan dana sumbangan ini untuk membantu meringankan bebanan dan juga lebih lagi kita difahamkan masjid dan surau.

“Diharapkan, sumbangan ini dapat membantu menyokong kerajaan negeri,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

 

 

 

Komen


Berita Berkaitan