Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Majikan Mangsa Culik Terima Panggilan Minta Wang Tebusan

Kapal nelayan dinaiki 16 nelayan termasuk tiga mangsa culik di perairan Pulau Pom-Pom, Semporna. - Foto Fail
Kapal nelayan dinaiki 16 nelayan termasuk tiga mangsa culik di perairan Pulau Pom-Pom, Semporna. – Foto Fail

TAWAU : Majikan kepada tiga warga Filipina yang diculik tujuh lelaki bersenjata di perairan Pulau Pom Pom di Semporna Sabtu lepas menerima panggilan meminta wang tebusan bernilai 2 juta Peso (RM180,000).

Karim Musappa, 30, berkata beliau menerima panggilan daripada seorang mangsa culik Masurin, 50-an, pada Isnin lepas dan menyebut mengenai wang tebusan yang diminta penculik.

“Saya terima panggilan pada Hari Raya Haji pada pukul 7.55 pagi…penculik menjadikan mangsa (Masurin) sebagai orang tengah untuk berkomunikasi dan meminta wang tebusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata laporan polis dibuat sejurus selepas menerima panggilan telefon tersebut. Karim berkata isteri kepada seorang daripada mangsa culik itu turut menerima panggilan telefon baru-baru ini meminta wang tebusan yang perlu diberi hingga 19 Sept ini.

“Sekiranya gagal, kepala mangsa akan dipotong,” katanya dan menambah kesemua mangsa dipercayai berada di selatan Filipina di Jolo.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abdul Rashid Harun mengesahkan pengadu menerima panggilan telefon tersebut namun enggan mengulas butirannya kerana polis masih menyiasat kesahihan panggilan telefon yang diterima itu.

Abdul Rashid berkata difahamkan semua mangsa dalam keadaan selamat dan polis akan terus menyiasat kes itu. Tiga yang diculik di atas kapal Putera itu dikenali sebagai Loloi Alpin, 30, Sami, 30-an, dan Masurin, 50-an, masing-masing warga Filipina tetapi memiliki dokumen IMM13 dan Surat Banci daripada Pasukan Petugas Khas.

Mereka diculik tujuh lelaki bersenjata api ketika menangkap ikan bersama-sama 13 lagi anak kapal di perairan berkenaan kira-kira pukul 10.40 malam pada 10 Sept lepas.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan