Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Majikan digesa beri perhatian kepada pekerja OKU

jainab

KOTA KINABALU: Majikan di negeri ini digesa untuk memberikan perhatian dan bertanggungjawab terhadap pekerja Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Hajah Jainab Datuk Seri Panglima Haji Ahmad Ayid berkata kebajikan pekerja juga harus diberikan perhatian yang sewajarnya oleh para majikan sebagai satu usaha untuk menggalakkan pekerja berkeja dengan lebih baik.

Beliau berkata, ini penting untuk keadilan semua pekerja khususnya penyediaan tempat tinggal yang selesa terutamanya kepada pekerja OKU wanita.

“Kita tidak mahu kes yang berlaku di Sememanjung berlaku di sini, di mana seorang majikan memaksa pekerja wanita OKU berkongsi asrama dengan pekerja lelaki warga asing. Oleh kerana kesempitan hidup OKU wanita itu terpaksa berkongsi bilik dan dia dirogol oleh pekerja asing berkenaan.

“Kita mahu pihak berkuasa terutamanya polis dan Jabatan Buruh mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang tidak berperikemanusiaan itu dan membawa majikan itu ke mahkamah untuk tindakan undang-undang.

“Ia harus menjadi contoh kepada semua majikan di seluruh negara supaya kes seperti itu tidak berulang. Saya juga berharap agar Akta Gangguan Seksual Di Tempat Kerja diluluskan di Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Program Latihan Transisi Kerjaya Kemahiran Murid Berkeperluan Khas negeri Sabah antara Jabatan Pelajaran Negeri Sabah dan Kumpulan BTC Berhad, di Dewan Serbaguna BTC, Wisma BTC Inanam, di sini, pada Rabu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Sabah Datuk Jame Alip.

Dalam laporan akhbar nasional baru-baru ini, wanita separa buta berusia 22 tahun yang mendakwa dirogol pekerja asing di asrama pekerja berkenaan antara Mac dan April tahun ini, menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap kes itu.

Berkenaan dengan majis itu Jainab mengalu-alukan dan menyambut baik usaha Kumpulan BTC membantu pekerja OKU.

“Ini satu perkara yang kita amat alu-alukan di mana kita mahu semua majikan di negeri ini menjalankan peranan dan tanggungjawab menjaga kebajikan pekerja terutamanya pekerja OKU. Kita sedih mendengar berita di mana, ada majikan yang tidak mengambil berat kebajikan pekerja OKU mereka.

“Apabila majikan menjaga kebajikan pekerjanya, secara tidak langsung pekerja juga akan bekerja lebih bersungguh-sungguh untuk meningkatkan produktiviti syarikat itu,” katanya.

Beliau juga berharap agar majikan lebih mengutamakan pekerja tempatan daripada pekerja asing bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

“Pada masa yang sama, pekerja tempatan harus berdisiplin dan komited menjalankan tugas serta sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT),” katanya dan berharap majikan di negeri ini melaksanakan sepenuhnya gaji minimum.

Komen


Berita Berkaitan