Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mahkamah tolak permohonan Najib

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas keputusan pendengaran permohonan mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membicarakan merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapinya. – Foto Mohamad Shahril Badri Saali

 

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan perintah larangan bagi menghalang media dan orang ramai daripada membicarakan merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan yang dihadapinya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan terbabit selepas berpuas hati bahawa permohonan itu tidak wajar.

“Walaupun mahkamah mungkin mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah larangan itu, dalam kes ini perlu ditentukan sama ada terdapat risiko prejudis terhadap perbicaraan yang adil dan proses keadilan.

“Dan oleh itu, kesimpulan yang dapat saya buat ialah permohonan ini tidak berjaya kerana undang-undang penghinaan mahkamah dan fitnah sedia ada sudah cukup untuk mengendalikan risiko prejudis atau campur tangan dalam sistem keadilan jenayah,” katanya.

Beliau memutuskan bahawa sekatan tambahan kepada undang-undang menghina mahkamah hanya boleh diberikan di dalam kes tertentu saja yang mana risiko berlakunya prejudis adalah sangat tinggi dan jelas.

“Jika terma tertentu di dalam permohonan hari ini dibenarkan, ia akan menceroboh hak kebebasan bersuara mengikut Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu saya menolak permohonan ini,” katanya.

Sementara itu peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan perintah larangan sementara yang dikemukakan Muhammad Shafee.

Beliau membuat permohonan itu atas alasan untuk mengelakkan kenyataan yang tidak adil terhadap anak guamnya. – BH Online

Komen


Berita Berkaitan