Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

MAHKAMAH TINGGI TOLAK PERMOHONAN BATAL SAMAN SHAFIE; KEPUTUSAN 26 OKT

Douglas Lind (tengah), Fuad (dua dari kanan), Vanugopal (dua dari kiri), Jahid (kanan) dan Johnny Mositun (kiri) ketika keluar daripada bilik teleconference selepas keputusan dibuat oleh Hakim Mahkamah TInggi Datuk Yew Jen Kie di Kota Kinabalu tadi. Gambar SNT/Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membatalkan saman Tan Sri Musa Aman yang mempertikaikan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah.

Mahkamah turut menolak satu lagi permohonan Shafie untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie yang berada di Kuching menyampaikan keputusan beliau melalui “teleconference” bahawa:

“Selepas melihat afidavit dan hujah daripada pihak yang terlibat saya berpuas hati bahawa pihak Plaintif telah menimbulkan Persoalan Undang-Undang yang memerlukan pertimbangan yang menyeluruh. Oleh itu tidaklah sesuai bagi saman itu dibatalkan secara ringkas.

Untuk itu, Yew mengarah pihak Plaintif (Musa) untuk memfail hujah pada 14 Sep, manakala Defenden pula pada 28 Sep. Plaintif boleh menfail jawapan pada 5 Okt sebelum beliau membuat keputusan pada 26 Okt.

Hadir semasa sesi “teleconference” tersebut di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 2.30 petang tadi Datuk Douglas Lind mewakili Shafie dan Tengku Fuad Tengku Ahmad serta S. Vanugopal bagi pihak Musa.

Hadir sama Peguam Negeri Hajah Zaleha Rose Haji Pandin dan peguam Dygku Fazidah Hatun Pg Bagul yang bertindak bagi pihak Tuan Yang Terutama, Tun Juhar Mahiruddin.

Dilaporkan saman meminta deklarasi Mahkamah beliau sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah telah difailkan oleh Musa pada 6 Jun. Dalam saman itu, Musa menamakan Juhar sebagai defenden pertama dan Shafie sebagai defenden kedua.

Berikutan itu, Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah membalas saman Musa dengan memfailkan permohonan pembatalan saman Musa pada 28 Jun.

Beliau menyatakan saman terhadapnya oleh Musa harus dibatalkan kerana antaranya tidak mempunyai sebarang asas dan menyalahgunakan proses Mahkamah.

Sementara itu, Jahid dalam saman beliau yang juga akan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Okt telah menamakan Shafie, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Datuk Bernard Dalinting masing-masing sebagai defenden pertama, kedua dan ketiga.

Jahid dilihat berada di Mahkamah bersama dengan Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun.-SabahNewsToday

Komen


Berita Berkaitan