Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mahkamah Tetap 6 Ogos Untuk Keputusan Kes Rambo Bentong

rambobentong

TEMERLOH:  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Ogos depan untuk keputusan kes yang dihadapi perogol bersiri Rabidin Satir atau digelar ‘Rambo Bentong’ yang dituduh merogol dan membunuh seorang remaja berusia 17 tahun, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Karim Ab Rahman menetapkan tarikh itu setelah selesai mendengar hujah daripada kedua-dua pihak di akhir kes pembelaan.

Peguam Richard Bong Chong Fook yang mewakili tertuduh dalam hujahnya berkata tidak ada bukti kukuh yang dapat mengaitkan tertuduh dengan kes pembunuhan itu memandangkan tidak ada saksi selain senjata yang digunakan dalam kes itu turut tidak ditemui.

Malah, katanya kesan darah milik individu yang tidak dikenali pada sehelai kemeja-T milik mangsa juga menunjukkan ada kehadiran orang ketiga semasa kejadian selain tertuduh.

Beliau berkata walaupun terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada kemaluan mangsa yang boleh mengaitkan tertuduh dengan kejadian rogol itu, namun ia belum cukup untuk mengaitkan tertuduh dengan kejadian pembunuhan tersebut.

Sehubungan itu pihak pembelaan yang turut diwakili peguam Rafika Shari’ah Mohd Hassan memohon kepada mahkamah agar melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustaffa dalam hujah balasnya berkata walaupun terdapat DNA orang ketiga, namun kesan darah tertuduh turut ditemui pada pakaian milik mangsa.

“Selain itu keterangan pembelaan tertuduh hari ini juga tidak meyakinkan dengan bersifat penafian semata-mata tanpa ada sokongan saksi serta asas yang kukuh.

“Malah, tertuduh juga memberikan keterangan bercanggah apabila diminta memberikan penjelasan di mana dia berada semasa tarikh kejadian,” katanya.

Rabidin yang berkerusi roda dan kelihatan lemah, sebelum itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Namun prosiding bela diri oleh Rabidin pagi tadi sedikit terganggu apabila tertuduh enggan mengangkat sumpah walaupun beberapa kali diminta berbuat demikian oleh mahkamah menerusi jurubahasa khas Kadazan Dusun yang dibawa dari Sabah.

Keadaan itu menyebabkan Hakim Abdul Karim menegur tertuduh dan memberi amaran akan terus menjatuhkan hukuman jika terus bersikap demikian yang akhirnya menyaksikan tertuduh akur.

Tertuduh selepas itu bagaimanapun lebih banyak menjawab ‘tidak ingat’ kepada setiap persoalan yang dikemukan kepadanya baik daripada pihak pendakwa mahupun peguam bela.

Rabidin, 43, dari Kampung Libang Ulu, Tambunan, Sabah didakwa membunuh Annie Kok Yin Cheng, 17, antara 11.30 malam 7 Mac 2009 dan 1.50 petang 8 Mac 2009, di Lot 4168 Kampung Ketari Bentong, Bentong, dekat sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa merogol mangsa sehingga menyebabkan kematiannya di tempat dan pada masa sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376(4) yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Komen


Berita Berkaitan