Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,653

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Tertuduh Tunjuk Dokumen ‘Kesultanan Sulu’ Kepada Polis

6:44pm 08/03/2016 Pak Roshan 2036 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo-1-600x366

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu menunjukkan kepada polis beberapa dokumen yang mengaitkannya dengan apa yang dikenali sebagai ‘Kesultanan Sulu’.

Saksi pembela, Bakrin Hadil, 33, seorang warga Filipina, dalam keterangannya berkata, abangnya, Timhar Hadil, yang dituduh menganggotai sebuah kumpulan pengganas, memberi keterangan terperinci tentang dokumen itu kepada polis melalui seorang lelaki tua yang hanya dikenali sebagai ‘Pak Imam’.

“Dokumen yang ditunjukkan kepada polis itu adalah yang diterima Timhar daripada (sultan) Muedzul Lail (Kiram).

“Timhar tidak begitu fasih berbahasa Malaysia. Maka, sebab itulah dia minta Pak imam memberitahu polis tentang Kesultanan Sulu,” katanya dalam bahasa Melayu tempatan.

Menjawab soalan timbalan pendakwa raya Datuk Jamil Aripin semasa pemeriksaan balas, Bakrin berkata apabila mendapat tahu dia dan abangnya dicari polis, dia memberitahu ‘Pak Imam’ di Kampung Binua – kampung tempat dia tinggal – mengenainya dan ‘Pak Imam’ dengan sukarela membantu mereka pada satu perjumpaan dengan polis.

Lelaki itu memberitahu mahkamah bahawa dia menghubungi seorang anggota CID Lahad Datu, Sarjan Yusof Pantrin, untuk memintanya berjumpa mereka di sebuah restoran di Lahad Datu pada 10 pagi 18 Feb 2013.

Saksi itu berkata dia juga membawa bapanya, Habil Suhaili, yang turut dituduh menganggotai sebuah kumpulan pengganas.

Katanya, setelah berada di restoran berkenaan selama kira-kira 10 minit, dia, abang dan bapanya serta ‘Pak Imam’, ditangkap.

Bakrin berkata dia ingin memperkenalkan Timhar kepada Yusof supaya abangnya itu boleh membantu polis mengintip kegiatan penjenayah di Lahad Datu seperti yang dilakukannya (Bakrin).

Kata saksi itu, dia memberi maklumat kepada Yusof tentang kegiatan maksiat di daerah itu selama kira-kira enam bulan sebelum dia ditangkap pada 18 Feb 2013. Sebanyak 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Beberapa tertuduh menghadapi satu atau beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian lagi dituduh secara sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, atau memberi kerjasama atau membantu kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan