Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Tertuduh Nafi Kumpul Maklumat Keselamatan Untuk Penceroboh Lahad Datu

9:19am 27/02/2016 Pak Roshan 650 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa tujuannya datang ke Sabah bukan untuk mengumpul maklumat tentang pasukan keselamatan Malaysia.

Semasa pemeriksan balas, Habil Suhaili, 68, menafikan dakwaan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin bahawa dia berniat untuk memberi maklumat mengenai pasukan keselamatan kepada kumpulan bersenjata yang menceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu tiga tahun lepas.

“Saya datang ke Sabah bersama anak lelaki saya, Timhar, pada 6 Feb 2013 untuk menziarahi seorang lagi anak lelaki saya, Bakrin.

“Kami menaiki sebuah feri dari Filipina dan memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport kami,” kata warga emas itu dalam bahasa Suluk, yang diterjemahkan seorang jurubahasa mahkamah.

Habil, yang uzur dan lemah serta terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi untuk membela diri terhadap tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas.

Terdahulu, dalam pemeriksaan utama, tertuduh memberitahu mahkamah bahawa dia mengenali dua Sultan Sulu – Sultan Esmail Kiram dan Sultan Muedzul Lail Kiram – tetapi tidak tahu tentang tuntutan terhadap Sabah yang dibuat pelbagai individu yang mendakwa diri mereka sebagai Sultan Sulu sebenar.

“Anak lelaki saya, Timhar, pernah menjadi pengawal peribadi Sultan Esmail pada 2007, tetapi berhenti (daripada berkhidmat dengan Sultan Esmail) pada 2009.

“Selepas 2009, dia (Timhar) bekerja sebagai anggota keselamatan untuk seorang datuk bandar dan kemudian diambil bekerja oleh Sultan Muedzul Lail sebagai pengawal peribadi,” katanya.

Menjawab soalan peguam Majnah Abdillah, Habil berkata hubungan keluarganya dengan keluarga Sultan Esmail menjadi renggang apabila Timhar bekerja dengan Sultan Muedzul Lail.

Tiga belas rakyat Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah terhadap pelbagai tuduhan yang didakwa mereka lakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Sesetengah daripada mereka menghadapi satu hingga beberapa tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian daripada mereka menghadapi tuduhan sengaja melindungi individu, yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas, atau mencari dan memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaran bersambung pada 29 Feb.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan