Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,733

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Tertuduh Nafi Berada Di Kampung Tanduo Ketika Pencerobohan

5:40pm 13/04/2016 Pak Roshan 75 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang rakyat Filipina, tertuduh dalam perbicaran kes pencerobohan Lahad Datu, menafikan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia berada di Kampung Tanduo, Lahad Datu ketika berlaku pencerobohan bersenjata tiga tahun lepas.

Tani Lahaddahi, 63, berkata seorang saksi pendakwa, yang memberi keterangan sebagai saksi dilindungi pada Disember tahun lepas, berbohong apabila mengatakan dia bercakap dengannya dan melihatnya memakai pakaian seragam lengkap tentera di kampung itu.

“Itu tidak betul. Ia suatu pembohongan,” katanya dalam bahasa Suluk, yang diterjemahkan jurubahasa mahkamah.

Tani membela diri terhadap tuduhan menganggotai sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam pencerobohan di kampung itu pada 2013.

Semasa pemeriksaan balas, tertuduh tidak bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin yang mengatakan dia pergi ke kampung itu untuk membantu ketua kumpulan penceroboh, Datu Agbimuddin Kiram, apabila mereka mendarat di Kampung Tanduo.

“Saya katakan kepada kamu bahawa kehadiran kamu di Kampung Tanduo menunjukkan niat kamu untuk melancarkan perang terhadap kerajaan Malaysia,” kata Jamil, tetapi Tani menyangkalnya.

Tertuduh berkata hubungannya dengan Datu Agbimuddin dan abang beliau, Esmail Kiram, yang dikatakan Sultan Sulu, berakhir pada 2003 dan sejak itu dia tidak pernah lagi berkomunikasi dengan mereka.

Tani juga menafikan dia tahu seorang lelaki dikenali sebagai ‘Imam Tua’, terlibat dalam serangan terhadap pasukan keselamatan di Kampung Simunul, Semporna, di mana sekeping gambar lelaki itu bersamanya dijumpai.

“Saya tak pernah beri gambar ini kepada polis. Saya tak pernah melihat gambar ini sebelum ini,” katanya.

Tani memberitahu mahkamah bahawa sebagai orang Suluk, dia menyokong kewujudan kesultanan Sulu kerana dia adalah pengikut seorang lagi yang disebut sebagai Sultan Muedzul Lail Tan Kiram.

Tertuduh tidak bersetuju dengan Jamil bahawa dia beralih menyokong Datu Agbimuddin pada 2013 kerana Muedzul Lail tidak mengambil tindakan untuk memberi penekanan dalam tuntutannya terhadap Sabah sebagai milik kesultanan Sulu.

“Saya katakan kepada kamu bahawa dalam percerobohan dan pertempuran yang diketuai Datu Agbimuddin, kamu dan anggota lain dalam ‘Pasukan Keselamatan Diraja’ berada dalam keadaan tunggu sedia untuk menyerang Semporna,” kata Jamil, tetapi Tani menafikannya.

Tiga belas rakyat Filipina dan seorang rakyat tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah terhadap pelbagai kesalahan yang dikatakan dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Beberapa tertuduh menghadapi satu hingga pelbagai pertuduhan menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian lagi menghadapi tuduhan dengan sengaja melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas atau mendapatkan atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaran bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan