Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,643

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Tertuduh Melarikan Diri Daripada Kampung Tanduo Tanpa Bapa Mentua

7:58pm 25/04/2016 Pak Roshan 1017 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang tertuduh warga Filipina dalam kes pencerobohan Lahad Datu telah meninggalkan bapa mentuanya di Kampung Tanduo di Lahad Datu untuk menyelamatkan dirinya daripada penceroboh bersenjata, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Virgilio Nemar Patulada alias Mohammad Alam Patulada, 52, berkata dia memutuskan untuk melarikan diri bersama-sama bapa mentuanya selepas berlaku serangan di kampung itu pada 1 Mac, 2013, tetapi bapa mentuanya enggan mengikutnya.

“Sebenarnya, waktu kejadian bertembak, saya ingin membawa bapa mentua saya (melarikan diri), tetapi dia beritahu saya yang dia tidak cukup kuat dan ada kemungkinan kami akan ditangkap dan dibunuh oleh pihak sekuriti sultan Sulu.

“Dia kata lebih baik saya lari seorang diri untuk menyelamatkan diri dan kalau ada peluang, menyerah diri kepada kerajaan Malaysia,” katanya yang memberi keterangan dalam bahasa Bajau dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Patulada membela diri terhadap pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo pada 2013.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar semasa pemeriksaan balas, tertuduh berkata dia cuba memaksa bapa mentuanya melarikan diri daripada kampung itu bersama-samanya, tetapi bapa mentuanya berkeras supaya dia melarikan diri tanpanya.

“Akhirnya, saya lari seorang diri dengan berlinangan air mata,” katanya.

Dia memberitahu mahkamah yang dirinya tidak tahu apa yang berlaku ke atas bapa mentuanya selepas melarikan diri daripada Kampung Tanduo.

Patulada berkata bapa mentuanya membawa dia bersama-sama ke Kampung Tanduo untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan bagi seorang ‘sultan Sulu’.

Katanya seorang lelaki dikenali ‘Haji Musa’ telah menunjukkan kepada bapa mentuanya sepucuk surat daripada kerajaan Malaysia yang membenarkan mereka masuk ke Sabah dan bahawa tidak akan ada perang.

Tertuduh memberitahu mahkamah yang mereka menaiki bot untuk ke Kampung Tanduo pada Februari 2013 dan selepas kira-kira setengah jam perjalanan, dia lihat kalangan anggota keselamatan ‘sultan’ mengeluarkan senjata api.

Menurutnya dia diberitahu senjata api itu sebagai perlindungan terhadap lanun dan kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan penculikan yang boleh berlaku di laut.

Tetapi sebaik tiba di Kampung Tanduo, tertuduh berkata lelaki terbabit masih membawa senjata api dan senjata lain sedangkan tidak lagi berdepan sebarang ancaman lanun dan Abu Sayyaf.

Patulada tidak bersetuju dengan cadangan Mohd Dusuki bahawa dia turut diberikan senjata semasa di Kampung Tanduo dan memberitahu mahkamah dia berasa takut dan mendapati agak aneh apabila penceroboh terbabit membawa senjata api di kampung itu.

“Yang saya tahu bahawa adalah satu kesalahan membawa senapang di Sabah, tetapi saya tidak berani cakap dengan mereka (penceroboh) kerana saya takut,” katanya.

Sebanyak 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai pertuduhan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Beberapa daripada tertuduh menghadapi antara satu dan beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Lainnya dituduh sengaja melindungi individu yang mereka ketahui menjadi anggota kumpulan pengganas atau bekerjasama atau memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan