Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mahkamah: Telefon Yang Dirampas Dipercayai Milik Pegawai Polis Yang Terkorban

simunul

KOTA KINABALU : Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman percaya telefon bimbit yang dirampasnya dari sebuah kereta di Jalan Lihak-Lihak di Semporna pada 13 Mac 2013 kepunyaan pegawai atasannya yang terkorban dalam serangan di Kampung Simunul 11 hari sebelum itu, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan Lahad Datu dua tahun lepas, Insp Holib Wan Ahmad berkata beliau menjumpai sebuah telefon bimbit Samsung Note 2 hitam di antara pakaian lama di dalam beg plastik hijau di dalam boot Perodua Viva yang dinaiki tiga tertuduh — Basil Samiul, Rizman Gulan dan Abdul Majil Jubin.

“Saya merujuk kepada ASP Wan Kamal Rizal Wan Daud (pegawai koordinasi operasi) mengenai penemuan telefon bimbit (Samsung Note 2) tersebut dan beliau menjelaskan telefon bimbit tersebut adalah telefon bimbit arwah Supt Ibrahim Lebar),” katanya ketika disoal balas Datuk N. Sivananthan.

Sivananthan: Sepanjang pengetahuan kamu, berapa buah telefon bimbit yang arwah Supt Ibrahim Lebar ada?

Holib: Sepanjang pengetahuan saya, hanya satu.

Sivananthan: Adakah kamu menyatakan bahawa satu-satunya telefon bimbit yang beliau (Ibrahim) ada merupakan Samsung Note 2?

Holib: Ya.

Sivananthan: Adakah kamu bersetuju bahawa telefon bimbit Samsung Note 2 ini serupa dengan mana-mana telefon Samsung Note 2 yang dijual dalam warna ini (hitam)?

Holib: Ya.

Holib memberitahu mahkamah tiada sesiapapun yang berada di dalam Perodua Viva itu — lima dewasa (empat lelaki dan seorang wanita) mengaku memiliki telefon bimbit berkenaan.

Pegawai SB itu berkata beliau turut memaklumkan tentang telefon bimbit itu kepada ketua pasukan operasi, ASP Budy Jurman Osman, bagaimanapun beliau percaya Budy Jurman mungkin sudah terlupa mengenainya disebabkan kekangan masa ketika melakukan tugasan lain.

Holib berkata beliau juga memberitahu pegawai penyiasat ASP Zairolnizal Ishak bahawa beliau percaya telefon bimbit itu kepunyaan Allahyarham Ibrahim.

Katanya Zairolnizal kelihatan terkejut dan memberitahunya bahawa perkara itu mesti disiasat.

Dikandang tertuduh adalah 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan