Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,669

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah Sabah Turun Padang Banteras Najis Dadah

11:08pm 03/11/2016 Pak Roshan 0 views Tempatan

dadah2

PAPAR : Mahkamah Sabah merancang program untuk mendekati masyarakat di kawasan ‘panas’ kes penyalahgunaan dadah.

Walaupun sibuk dengan tugas mendengar dan menyelesaikan kes di mahkamah, Hakim Mahkamah Tinggi Negeri Datuk Nurchaya Arshad berkata pihaknya terpanggil untuk ‘turun padang’ dan mendidik masyarakat mengenai kesalahan berkaitan dadah.

“Walaupun kita memberi hukuman berat kepada pesalah dadah, kita mendapati masih banyak kes yang perlu diselesaikan dan banyak pesalah masih mengulangi kesalahan.

“Atas keprihatinan ini, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum telah mengarahkan kami (mahkamah) untuk turun padang dan memberi pendidikan dan kesedaran kepada masyarakat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Karnival Anti Dadah Peringkat Daerah Papar anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis Datuk Abdul Rahim Ismail.

Karnival itu anjuran bersama Mahkamah Negeri dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Daerah.

Menurut Nurchaya, 80 peratus daripada kes yang dibawa ke Mahkamah Papar melibatkan penyalahgunaan najis dadah dan senario itu mendorong Mahkamah Negeri mengadakan karnival pertamanya itu di daerah ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Papar merupakan daerah ke-10 di Sabah mencatat kes penyalahgunaan dadah tertinggi.

“Sebenarnya, Semporna merupakan daerah tertinggi mendaftarkan kes penyalahgunaan dadah di mahkamah dan tentunya karnival seterusnya diadakan di sana,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim memuji usaha Mahkamah Negeri untuk turun padang mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, dan menerangkan bahaya najis dadah.

Sambil menyifatkan inisiatif mahkamah itu sebagai ‘luar biasa’, beliau berkata karnival berkenaan jelas membuktikan usaha memerangi dadah merupakan tugas besar dan mencabar serta memerlukan kerjasama di semua peringkat.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan