Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,649

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Penceroboh Lahad Datu Ancam Bunuh Tertuduh Jika Melarikan Diri

4:55pm 04/04/2016 Pak Roshan 2856 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar fail

gambar fail

KOTA KINABALU : Seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa penceroboh bersenjata Kampung Tanduo mengancam untuk membunuhnya jika dia cuba melarikan diri dari kampung itu.

Semasa memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-10, Basad H. Manuel, 41 berkata ugutan itu menjadi lebih nyata apabila dia mendengar orang yang mengikut penceroboh bersenjata itu ke Kampung Tanduo, bercakap mengenai ada orang lain yang ditembak mati apabila cuba melarikan diri.

“Saya takut pada mereka (penceroboh bersenjata). Siapa yang lari akan dibunuh,” katanya dalam bahasa Bajau, yang diterjemahkan oleh penterjemah mahkamah.

Basad membela diri diri atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong semasa pencerobohan bersenjata di kampung itu pada 2013.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa dia datang ke Sabah bersama dengan penceroboh terbabit selepas dijanjikan dengan satu pekerjaan di pejabat dan kad pengenalan Malaysia oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Edie’.

Bagaimanapun, beliau berasa ada perkara yang tidak kena apabila tiba di Kampung Tanduo dan diarahkan untuk mengangkut air dan sayur-sayuran, memasak pisang dan menangkap ikan sehinggalah risalah digugurkan dari sebuah helikopter memerintahkan para penceroboh untuk meninggalkan kampung itu.

“Sebelum kertas (risalah) itu dijatuhkan (di Kampung Tanduo), memang saya rasa diperbodohkan. Selepas kertas dijatuhkan, barulah saya menyedari yang saya telah ditipu,” katanya.

Semasa pemeriksaan balas, Basad tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar bahawa dia datang ke Sabah untuk melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan Malaysia dengan niat untuk menuntut Sabah.

“Saya ada isteri dan anak. Kalau tujuan saya datang ke sini (Sabah) adalah untuk berperang, biarlah saya (kekal) di Filipina, walaupun kehidupan (di Filipina) dalam keadaan susah,” katanya.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa dia bersembunyi di dalam kawasan belukar selepas dapat melarikan diri dari Kampung Tanduo apabila pertempuran di antara pasukan keselamatan dan penceroboh bersenjata berlaku pada 1 Mac, 2013.

Katanya dia takut keluar dari tempat persembunyian di antara kawasan belukar itu apabila polis berada di kawasan itu sehinggalah mereka menjerit “keluar, keluar, kami polis” beberapa kali.

“Apabila saya dapati orang-orang tersebut adalah polis dan bukan orang-orang Agbimuddin (ketua penceroboh), saya pun keluar,” katanya.

Tiga belas warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah atas pelbagai kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Sebahagian daripada tertuduh dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebahagian yang lain pula dituduh secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas, atau mencari atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan