Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mahkamah: Pegawai Polis Sepatutnya Terlibat Dalam Rundingan Dengan Penceroboh

tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini diberitahu bahawa seorang individu dipercayai pegawai polis yang disebutkan dalam perbualan telefon yang dipintas sepatutnya terlibat dalam rundingan dengan kumpulan penceroboh Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Pegawai Penyelia Unit Pintasan Komunikasi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman, ASP Muhammad Fauzairi Jaidin berkata panggilan telefon jam 10.50 pagi itu dibuat pada 21 Feb, 2013 antara seorang lelaki dikenali sebagai ‘Adu’, yang menggunakan telefon bimbit milik seorang lelaki bernama ‘Al-Wajir Osman’ dan seorang lelaki bergelar ‘Raja Muda Agimuddin’ menyebut nama pegawai polis yang sepatutnya terlibat sebagai ‘Omar Mamah’.

“Perbualan telefon ini adalah dalam konteks rundingan antara pihak berkuasa Malaysia dan penceroboh. Beliau (Omar Mamah) dikatakan ‘akan bersama untuk berunding’.

Maksudnya, Omar Mamah akan menyertai rundingan bagi pihak berkuasa Malaysia, manakala ‘Raja’ (Raja Muda Agimuddin) bagi pihak penceroboh,” kata beliau ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan insiden pencerobohan dua tahun lepas.

Muhammad Fauzairi juga berkata perkataan ‘diaorang’ (mereka), yang bermakna mereka dalam perbualan yang dipintas juga merujuk kepada pihak berkuasa Malaysia yang akan terlibat dalam rundingan dengan apa yang dipanggil Raja Muda Agimuddin daripada Kesultanan Sulu bersabit dengan pencerobohan itu.

Pegawai Cawangan Khas itu memberitahu mahkamah bahawa unit beliau menjalankan 73 pintasan komunikasi ke atas 10 individu termasuk ke atas seorang wanita.

Menurut saksi-saksi, maklumat daripada komunikasi yang dipintas disampaikan kepada pegawai penyelaras operasi Cawangan Khas, ASP Mohamad Hasnal Jamil dan ASP Wan Kamal Rizal Wan Daud sama ada melalui serahan tangan atau melalui telefon.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan