Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,717

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

MAHKAMAH: Mahkamah Diberitahu Tertuduh Hantar Bekalan Makanan Kepada Penceroboh

6:55pm 16/11/2015 Pak Roshan 2254 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

bicara-tanduo-600x367

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa seorang tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu telah menghantar bekalan makanan kepada penceroboh-penceroboh Kampung Tanduo pada Februari 2013.

Seorang daripada dua orang isteri tertuduh, Mohamad Ali Ahmad yang dibicarakan sebagai warga tempatan, memberitahu bahawa dia dan tertuduh bersama-sama seorang lagi isteri tertuduh telah kembali ke Kampung Tanduo pada 15 Feb 2013, selepas tiga hari meninggalkan kampung itu yang menjadi tempat tinggal mereka.

“Jalan yang kami lalui untuk menghantar bekalan makanan bukan jalan yang biasanya digunakan oleh penduduk (untuk ke Kampung Tanduo) kerana jalan itu jauh dan jarang dilalui orang.

“Saya berasa takut semasa kami pulang dan meninggalkan Kampung Tanduo,” katanya dalam keterangan yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah, yang menggunakan fon telinga untuk mendengar keterangannya.

Wanita itu memberi keterangan sebagai saksi yang dilindungi pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan oleh kumpulan lelaki bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Mohamad Ali dituduh melakukan penderhakaan dengan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan; dan menjadi anggota kumpulan pengganas yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan denda.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, saksi itu berkata dia tidak nampak seorangpun anggota keselamatan semasa kembali dan meninggalkan kampung itu pada hari berkenaan.

Dia memberitahu mahkamah bahawa Mohamad Ali mengarahkannya dan seorang lagi isteri tertuduh supaya mengikutnya bersembunyi di sebuah ladang kelapa sawit dengan meninggalkan anak mereka untuk dijaga oleh mentuanya di Tanjung Labian.

“Saya tidak mempunyai pilihan,” katanya ketika disoal oleh Mohd Dusuki tentang mengapa dia mengikut tertuduh untuk bersembunyi di ladang kelapa sawit.

Saksi itu berkata dia dan Mohamad Ali dan seorang lagi isterinya bersembunyi di ladang kelapa sawit selama kira-kira seminggu dan terpaksa menggadai barang kemasnya untuk membeli makanan dan minyak petrol.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa pada mulanya, mereka bersembunyi di ladang kelapa sawit sebelum kembali ke Tanjung Labian dan bersembunyi dalam semak di belakang rumah mentuanya.

Pada 3 Mac 2013, saksi itu berkata mereka bersembunyi dalam kawasan semak tidak jauh dari rumah ibunya di Kampung Taburi, Tungku sebelum berjalan jauh ke Kampung Tulibas, Tungku selepas seorang lagi isteri Mohamad Ali ditangkap pada 21 Mac, 2013.

“Apabila tiba di Kampung Tulibas (pada 22 Mac 2013), penduduk kampung menerpa kami dan berkata sesiapa yang hendak masuk ke kampung mesti berjumpa dengan ketua kampung terlebih dahulu.

“Kami dibawa ke masjid kampung untuk menemui ketua kampung sebelum kami ditangkap dan dibawa ke balai polis Cenderawasih oleh tiga anggota polis,” katanya.

Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa dia telah menemui beberapa dokumen berkaitan kesultanan Sulu di bilik tidurnya beberapa bulan sebelum meninggalkan Kampung Tanduo pada 12 Feb 2013.

“Saya menemui dokumen-dokumen itu semasa mengemas bilik. Ia seperti dokumen suami saya berhubung keanggotaan dalam kumpulan itu,” kata wanita itu.

Seramai 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan menghadapi satu hingga pelbagai tuduhan menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan