Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,640

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Laporan Polis Mengenai Wanita Cedera Tidak Sebut Tentang Pertempuran

6:52pm 08/12/2015 Pak Roshan 331 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

bicara-tanduo

KOTA KINABALU : Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa laporan polis mengenai seorang orang awam yang dipercayai cedera akibat tembakan dalam pertempuran di Kampung Simunul, Semporna pada Mac 2013, tidak menyebut tentang pertempuran yang berlaku.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan pencerobohan Lahad Datu, penolong pegawai penyiasat Sub Insp Aziz Samet berkata pada malam berlaku pertempuran itu, 2 Mac 2013, beliau mendapat maklumat seorang wanita mengalami kecederaan.

Menurut pegawai itu, beliau kemudian membuat laporan polis, tanpa memasukkan maklumat tentang pertempuran yang berlaku.

Ini mendorong peguam Datuk N. Sivananthan menyoalnya sama ada pertempuran melibatkan senjata api benar-benar berlaku antara pasukan keselamatan dengan lelaki Sulu di kampung itu pada malam berkenaan.

“Saya hanya membuat laporan polis mengenai wanita yang manjadi mangsa seperti yang diarah ASP Zairolnizal Ishak (Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Semporna),” katanya apabila diminta Sivananthan memberi penjelasan kenapa maklumat tentang pertempuran itu tidak dinyatakan dalam laporan polis berkenaan.

Aziz berkata demikian ketika disoal balas pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Sivananthan: Saya katakan kepada kamu bahawa apabila kamu diarah membuat laporan polis, sebab kamu tidak menyebut tentang pertempuran ialah kerana tidak berlaku sebarang pertempuran.

Aziz: Saya tidak bersetuju.

Sivananthan: Saya katakan kepada kamu bahawa sekiranya telah berlaku pertempuran, ia adalah antara pasukan keselamatan dengan beberapa penjenayah yang sudah pun berada di Kampung Simunul, kampung yang terkenal sebagai tempat wujudnya pelbagai kegiatan jenayah.

Aziz: Saya tidak bersetuju.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa sejak beliau bertugas di ibu pejabat polis Semporna pada 2008 hinggalah berlaku pertempuran di Kampung Simunul, keadaan di kampung itu adalah baik dan selamat.

Bagaimanapun ,katanya, jika operasi perlu diadakan di kampung itu, polis akan pergi sebagai suatu pasukan.

Menjawab soalan peguam Abdul Gani Zelika, saksi itu berkata beliau tidak tahu tentang kehadiran penceroboh Sulu di Kampung Simunul.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan, termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Rabu.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan