Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,654

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Mahkamah: Anggota ‘Kesultanan Sulu’ Ada ‘Keistimewaan’ Tinggal Di Sabah, Kata Tertuduh

5:51pm 03/03/2016 Pak Roshan 2657 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan

tanduo

KOTA KINABALU : Seorang anggota ‘Kesultanan Sulu’ memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia mempunyai ‘keistimewaan’ untuk tinggal di Sabah.

Datu Amir Bahar Hushin Kiram, 53, tertuduh dalam kes pencerobohan Lahad Datu, berkata ‘keistimewaan’ itu berdasarkan ‘hak kepemilikan keluarganya’ terhadap negeri ini.

“Itu (tinggal melebihi tempoh di Sabah) tidak bermakna saya tinggal di Sabah secara haram,” katanya ketika memberi keterangan dalam bahasa Inggeris dari tempat duduk saksi.

Tertuduh memberi jawapan kepada cadangan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar bahawa dia mencabuli undang-undang Malaysia dengan tinggal melebihi tempoh di Semporna selepas pasport Filipinanya tamat pada 12 Feb 2013.

Datu Amir Bahar membela diri atas dua pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas semasa pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Tertuduh, yang ditahan di Semporna pada 23 Mac 2013, sedar bahawa dia mencabuli undang-undang imigresen Malaysia dengan tinggal melebihi tempoh, bagaimanapun, menurutnya, dia tetap memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa di Semporna ketika itu.

Datu Amir Bahar berkata dia berusaha sedaya upaya mencari sebuah bot untuk membawa dia dan isteri ke Filipina selepas dia membantu pasukan keselamatan memujuk bapa saudaranya Datu Agbimuddin Kiram, ketua penceroboh Kampung Tanduo, supaya meninggalkan kampung itu pada 16 Feb 2013.

“Tiada siapa pun yang mahu membawa kami sebab mereka tahu saya ini putera sultan. Sebaik sahaja polis nampak mereka bersama saya, mereka mungkin ditangkap.

“Hubungan saya baik dengan pihak berkuasa di Semporna. Tetapi sejak bapa saudara saya menceroboh Lahad Datu, semua orang syak yang saya ini sebahagian daripada kumpulan (penceroboh) itu sebab saya mempunyai kaitan dengan Datu Agbimuddin,” katanya.

Datu Amir Bahar memberitahu mahkamah dia tidak suka dengan tindakan Datu Agbimuddin menceroboh ke Kampung Tanduo, dan berkata bapa saudaranya itu telah mencabuli hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Datu Amir Bahar adalah seorang daripada 13 warga Filipina dan seorang lelaki tempatan membela diri di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah terhadap beberapa kesalahan yang didakwa dilakukan antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Ada antara tertuduh yang berdepan satu hingga beberapa pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Beberapa orang daripada mereka didakwa secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota kumpulan pengganas, atau merekrut anggota atau memberi sokongan kepada sebuah kumpulan pengganas.

Perbicaraan bersambung esok.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan