Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Luke selesa guna papan selaju

PELAJAR Kelainan Upaya SML Tansau, Luke Marvelle bersama sumbangan papan luncur yang diterima pada Program Kementerian Kewangan Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah, Petagas. – Foto Mohd Adam Arinin

 

PUTATAN: Berbeza dengan kebanyakan orang kelainan upaya (OKU) cacat anggota yang lebih selesa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, seorang pelajar OKU dari Taman Bersatu, Petagas, di sini, sebaliknya memilih papan selaju.

Luke Murvelle, 15, pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau, di sini, berkata papan selaju lebih bebas dan mudah digunakan selain tidak menyusahkan orang lain berbanding kerusi roda.

Anak sulung daripada enam beradik itu menghidap Spina Bifida atau masalah tulang belakang yang menyebabkan anggota kakinya lumpuh sejak dilahirkan, namun kekurangan itu tidak menghalangnya untuk berdikari.

“Dulu saya menggunakan kerusi roda tetapi memandangkan ia memerlukan bantuan orang lain untuk menolak saya apabila mahu ke mana-mana, saya merasakan ia menyusahkan selain tidak bebas untuk bergerak.

“Jadi, sejak tahun 2013 saya mula menggunakan papan selaju dan hingga hari ini saya sudah menggunakan lebih 10 papan selaju untuk membantu bergerak termasuk ke sekolah,” katanya.

Dia ditemui selepas menerima bantuan papan selaju disampaikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kementerian Kewangan Bersama Rakyat di Kampung Muhibbah, Petagas, di sini, hari ini.

Selama lima tahun menggunakan papan selaju, Luke yang turut aktif menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah termasuk menganggotai pasukan Pengakap, mahir mengendalikan alat berkenaan tanpa bimbang terjatuh atau tergelincir.

KETUA Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah (tengah) menyerahkan papan luncur kepada pelajar kelainan upaya SMK Tansau, Luke Marvelle pada Program Kementerian Kewangan Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Muhibbah, Petagas. Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin. – Foto Mohd Adam Arinin

 

Sementara itu, ibunya, Rajanah Amantah, 36, berkata setiap papan selaju yang digunakan Luke hanya mampu bertahan antara enam bulan hingga setahun bergantung kepada kualiti papan yang digunakan.

“Kebanyakan papan selaju yang digunakan Luke adalah sumbangan badan bukan kerajaan (NGO), guru dan orang perseorangan yang simpati.

“Tidak kira di mana Luke berada, kehadirannya pasti menarik perhatian. Dulu dia tidak selesa apabila berdepan dengan suasana yang ramai tetapi sekarang dia lebih terbuka selepas memasuki sekolah menengah,” katanya. – BH ONLINE

Komen


Berita Berkaitan