Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,663

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

LKIM bertemu masyarakat nelayan Semporna

1:52pm 21/12/2015 Ann Vivien 24 views Isu Semasa,Tempatan
 Irmohizam (tiga dari kanan) bersama Jaujan (tiga dari kiri) meninjau Pulau Sipadan.

Irmohizam (tiga dari kanan) bersama Jaujan (tiga dari kiri) meninjau Pulau Sipadan.

SEMPORNA: Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Dato Hj Irmohizam Ibrahim telah mengadakan lawatan ke daerah Semporna, bertemu dengan masyarakat nelayan dalam rangka menyelami denyut nadi kehidupan mereka.

Selain bertemu dengan ketua-ketua Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sabah, beliau turut berkunjung ke Pulau Sipadan yang merupakan ikon pelancongan marin dan dikenali di seluruh dunia.

Sepanjang lawatan itu, Irmohizam diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Sulabayan Datuk Dr Jaujan Sambakong yang juga Pengerusi Lembaga Pemasaran Perikanan Sabah (Safma) Sdn Bhd, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri Makanan Sabah.

Turut sama Pengarah LKIM Sabah, Haji Osman Abd.Latiff dan pegawai-pegawai kanan negeri dan Persekutuan.

Ketika di Pulau Sipadan, Irmohizam diberi taklimat oleh pegawai Taman-Taman Sabah mengenai operasi dan peraturan ditetapkan bagi penjagaan pulau berkenaan demi mengekal dan memelihara ekosistem serta habitat pulau berkenaan.

Pulau Sipadan merupakan antara 10 daripada pusat menyelam skuba terbaik di dunia.

Rombongan turut dibawa melawat serta diberi taklimat di tempat penetasan dan pemuliharaan penyu di Pulau Sipadan.

Sesuatu yang menarik, rombongan dimaklumkan bahawa Pulau Sipadan mempunyai khazanah amat istimewa dan berharga, iaitu adanya spesies ketam terbesar di situ, dikenali Coconut Crab.

Namanya disebut Coconut Crab kerana ketam ini memakan kelapa tua, dan dianggarkan terdapat antara 50 hingga 60 ekor Cocounut Crab yang masih aktif membiak di situ, sekali gus menambahkan lagi kepelbagaian sumber marin Pulau Sipadan.

Sementara itu, Jaujan berkata kekayaan dan keunikan sumber marin di Pulau Sipadan itu merupakan nilai tambah kepada keindahan taman lautnya yang merupakan tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.

“Kepelbagaian yang dimiliki Pulau Sipadan ini menyebabkan ia tidak putus-putus dikunjungi oleh penggemar aktiviti menyelam setiap hari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan beberapa perkara kepada Pengerusi LKIM untuk mengkaji dan melihat potensi yang ada, untuk diterokai dan dikomersilkan ke arah meningkatkan sosioekonomi masyarakat nelayan.

“Barangkali sudah tiba masanya bagi PNK dan ahli-ahlinya yang berminat bagi merebut peluang membabitkan diri dalam sektor agropelancongan dan tidak semata-mata bergantung kepada aktiviti penangkapan ikan.

“Ahli-ahli PNK amat mahir dengan kehidupan dan habitat marin, maka sudah tentu mudah bagi mereka menjalankan agropelancongan ini, misalnya membawa bot pelancong, snorkling, malim laut atau membina inap desa di kawasan kepulauan berhampiran,” katanya.

Beliau optimis bahawa jika kegiatan sedemikian dapat diterokai secara teratur, ia dapat meningkatkan pendapatan kalangan ahli PNK dalam jangka masa panjang.

Jaujan turut menasihatkan masyarakat nelayan umumnya supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam semua aspek, termasuk soal keselamatan dan penjagaan khazanah marin.-Sayangsabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan