Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lintasan Jahat vs Lintasan Baik

12:31pm 23/03/2016 Zakir Sayang Sabah 48 views i-Muslim
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

Lintasan adalah suatu cetusan, ilham dan kata hati yang berlaku kepada kita setiap hari tidak kira waktu dan keadaan. Sering juga lintasan-lintasan ini menjadi dorongan kepada kita untuk terpengaruh melakukan perkara-perkara yang negatif, maksiat dan dosa.

Ada ketika pula lintasan-lintasan ini adalah berbentuk nasihat-nasihat dan motivasi untuk melakukan perkara yang baik, positif dan kebajikan. Dari manakah datangnya lintasan-lintasan ini? Bagaimana untuk mengenalpasti punca bagi lintasan ini?

Bagi lintasan jahat ada 3 punca lintasan ini manakala bagi lintasan baik ada 2 punca lintasan ini tercetus. Jom kita semak bersama-sama.

Lintasan Jahat #1: Berpunca Daripada Syaitan, Iblis, Jin Atau Sekutunya

Menurut al Habib Ali Zainal Abidin al Jufri di dalam kuliyahnya, lintasan jahat yang berpunca dari iblis, syaitan dan sekutu-sekutunya dapat dikenal pasti dengan berzikir.

Jika selepas berzikir, lintasan dan pengaruh yang mengajak kepada kejahatan ini dapat dihentikan, maka lintasan ini berpunca daripada hasutan luar (ghaib) ini.

Di sini pentingnya seorang hamba sentiasa mengawasi hatinya agar sentiasa ingat pada Allah swt bagi memastikan anasir-anasir luar tidak mempengaruhi dirinya untuk tidak bertindak di luar keizinan seorang hamba kepada Tuhannya.

Lintasan Jahat #2: Berpunca Daripada Nafsu

Apabila suatu lintasan yang mengajak kejahatan hanya fokus pada satu kejahatan itu sahaja. Tiada dorongan ke arah untuk membuat kejahatan yang lain atau kejahatan susulan selepas itu. Malah tidak dapat dipatahkan secara mudah melalui zikir.

Ketahuilah bahawa lintasan itu sebenarnya berasal dari nafsu kita sendiri. Ketika ini musuh nombor satu yang cuba menjatuhkan kita adalah diri kita sendiri, bukannya pihak lain. Lintasan yang tercetus ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah kemahuan dan kehendak nafsu diri yang liar.

Untuk mengatasinya maka seorang hamba itu perlu mengekang keinginan nafsunya melalui latihan puasa, mengurangkan tidur dan sabar. Berpuasa bagi mendidik nafsu makan kerana tanpa mampu mengawal nafsu yang paling rendah ini, kita boleh jadi beralih kepada tingkatan nafsu yang lebih tinggi.

Mengurangkan tidur juga adalah untuk menjinakkan nafsu diri menurut al Habib Ali Zainal Abidin al Jufri. Sabarkan diri dalam menjalankan ketaatan dan sabarkan diri untuk mengelak maksiat dan dosa. Barulah lintasan jahat dari nafsu mampu dibendung.

Lintasan Jahat #3: Berpunca Daripada Istidraj Allah swt

Berhati-hatilah mereka yang merasakan begitu mudah untuk melakukan suatu kejahatan malah setiap perbuatan ini disusuli pula dengan kejahatan yang lain.

Perhatikanlah diri kita dan muhasabah kerana boleh jadi kita telah bertindak zalim dan menempah kemurkaan Allah swt dalam tindak tanduk kita sebagai hambaNya sehingga Allah swt membuka pintu-pintu dosa dan maksiat di depan kita.

Lintasan yang menyebabkan mudahnya jalan ke arah dosa dan maksiat secara terus menerus merupakan suatu istidraj daripada Allah swt ke atas hambaNya yang tidak mahu dipandang oleh Nya lagi.

Di akhirnya segala perbuatan jahat tadi akan dikira dan dikumpulkan sehingga manusia ini tercampak ke dalam azab menjadikan kecelakaan dunia (maksiat yang tiada penghujung) itu kekal bersamanya sehingga akhirat.

Jika ada ciri-ciri lintasan begini ke atas diri kita, kembalilah segera. Jangan biarkan kita semakin menjauh dari Sang Kekasih. Usahakan kembali untuk meraih Cinta Nya. Buktikan bahawa kita mahu kembali bersama Tuhan.

Kerana Allah swt Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang tidak pernah menzalimi hambaNya dan kemurkaan itu tentunya dari kesilapan kita sendiri seperti firman Allah swt:

Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu; dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka. (Surah Hud: 101)

 

Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri, dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka, dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. (Surah Ar-Rum: 9)

 

Lintasan Baik #1: Berpunca Daripada Nasihat Dan Teguran Para Malaikat

Salah satu cara Allah swt memuliakan para hamba yang dikasihiNya adalah dengan memudahkan para malaikat yang sentiasa berada bersama hambaNya untuk menasihat dan menegur bagi kebaikan para hambaNya itu.

Apabila suatu lintasan baik itu mengetuk hati seorang hamba untuk melakukan suatu kebajikan tetapi tidak dilaksanakan seorang hamba itu lalu lintasan itu hilang. Ketahuilah bahawa lintasan baik itu datangnya dari malaikat.

Sebuah hadith diriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

Sesungguhnya malaikat mempunyai hasrat di hati anak Adam, demikian juga syaitan. Hasrat malaikat berupa ajakan untuk kebaikan dan membenarkan ancaman Allah swt, sedangkan hasrat syaitan adalah ajakan untuk melakukan kejahatan dan mendustakan janji Allah. Kemudian baginda membaca firman Allah – “Syaitan itu menjanjikan kefaqiran kepadamu dan memerintahkan perbuatan yang keji, sedangkan Allah menjanjikan ampunan dan anugerah kepadamu.” Riwayat Tirmizi

Allah swt berfirman juga:

(Ingatlah) ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka” (Surah Al-Anfal: 12)

 

Lintasan dari para malaikat tidak bersifat kekal dan hanya suatu teguran sepintas lalu; untuk melakukannya atau tidak terpulang pada diri hamba itu. Namun menjadi suatu kerugianlah jika kemuliaan yang disampaikan Allah swt melalui malaikat-malaikatnya kepada kita tidak disahut dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakannya.

Sungguh malu kita pada Allah swt. Sedangkan seorang raja yang hendak menganugerahkan gelaran Dato’ kepada kita maka dengan bersungguh-sungguh kita hadir ke majlis istiadat perlantikan darjah kemuliaan itu tetapi kenapa dengan Tuhan kita sambil lewa sahaja?

Bersegeralah pada kebaikan apabila ianya datang kerana bukan mudah untuk menjemput kebaikan. Dan mereka yang selalu berada di atas jalan kebaikan insyaAllah sedang berjalan menuju kemuliaan yang disediakan Tuhan semesta alam.

Lintasan Baik #2: Berpunca Daripada Ilham Allah swt

Lintasan baik ini adalah lintasan-lintasan yang paling indah dan manis sekali kerana hadirnya adalah terus dari Sang Kekasih sendiri kepada para kekasihNya.

Ilham yang datang dari Allah swt hadir bersama kekuatan yang luar biasa sehingga seorang hamba itu mudah saja melaksanakan kebaikan yang ‘terdorong’ dari ilham-ilham ini.

Apa yang lebih mengasyikkan adalah apabila lintasan ini diiringi pula dengan lintasan-lintasan baik yang lain dan mampu dilaksanakan terus-menerus juga oleh sang hamba.

Ilham terus dari Allah swt bukanlah suatu yang asing malah telah disebut di dalam Al-Quran seperti berikut:

Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (Surah Asy-Syams: 7)
Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; (Surah Asy-Syams : 8)

 

Hebat sekali apabila Allah swt mengkehendakkan kemuliaan kepada seorang kekasih Tuhan itu. Setiap tindak-tanduk, tutur kata dan ilham hatinya adalah kerana Tuhan dan dari Tuhan. Ada satu hadith buat renungan semua:

“Takutlah kamu dengan firasat orang Mu’min kerana ia melihat dengan cahaya Allah.” Riwayat Tirmizi

Sesungguhnya orang yang begitu hampir dengan Tuhan, hati yang telah bertaut dengan Tuhan; maka sudah tentu Tuhan sentiasa bersamanya.

Lantas, segalanya dipandu Tuhan untuk si hamba agar tetap jalannya berada atas landasan yang dikehendaki Tuhan.

Pintu-pintu kebaikan akan dibuka seluas-luasnya bagi memudahkan hambaNya berjalan terus ke arah kebahagiaan di dunia dan kekal bahagia di akhirat.

Menurut al Habib Ali Zainal Abidin al Jufri, sesungguhnya dengan mengenali punca-punca lintasan ini dapat menerbitkan kesedaran kepada diri kita.

Mengenali punca-punca lintasan jahat misalnya dapat menyedarkan kita bagaimana harus kita lakukan untuk mengekang lintasan ini dari berterusan menguasai hati dan hidup.

Manakala mengenali punca-punca lintasan baik pula dapat menyedarkan kita tentang kasih sayang Allah swt yang mahukan kebaikan terus bersama kita lalu mensyukuri nikmat Allah swt yang ini.

Apakah yang lebih seronok bagi seorang hamba apabila dihargai oleh tuannya lalu dijaga sebaik yang mungkin segala keberadaan dirinya?

Apakah yang lebih indah apabila penghargaan ini datang dari Tuhan sendiri untuk kita?

Sebagai penutup, jom amalkan doa Rasulullah saw yang berikut:

“Ya Allah ilhamkanlah kepadaku kebenaran dan lindungilah aku dari keburukan jiwaku.” Riwayat Tirmizi

(Sumber: Tazkirah.net, oleh Nurul Akmal Ibrahim)

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan