Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,736

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lima Warga Indonesia Ditahan Cuba Masuk Negara Secara Haram

11:57pm 11/11/2016 Pak Roshan 886 views Jenayah,Mutakhir
OPERASI ... Bot PPM ketika menjalankan Ops Gelora. - Foto NewSabahTimes

OPERASI … Bot PPM ketika menjalankan Ops Gelora. – Foto NewSabahTimes

LAHAD DATU : Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ketika cuba memasuki negara ini di kawasan laut Sungai Melayu di Tawau, pagi tadi.

Komandernya, Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata Pasukan Polis Marin Tawau yang membuat rondaan rutin terserempak dengan sebuah bot yang mencurigakan sekitar pukul 7.30 pagi.

“Ketika pemeriksaan, terdapat dua lelaki dan tiga wanita berumur antara 10 dan 45 tahun yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, menurutnya pasukan keselamatan ESSCom telah menahan 20 PATI dan merampas barangan bersubsidi yang cuba diseludup keluar ke negara jiran dalam pelbagai operasi di empat daerah meliputi Sandakan, Semporna, Tawau dan Lahad Datu.

Operasi selama enam hari sejak 4 Nov itu berjaya merampas barangan termasuk 147 kotak minyak masak, 19 kotak tepung, 18 bungkus gula pasir, 19 gelen petrol dan 14 tong gas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM162,850.

“Turut disita 140 tikar getah, 40 botol minyak pelincir, enam gelen racun rumput dan empat enjin pam yang dipercayai untuk pasaran di negara jiran,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia itu berjaya menggagalkan banyak cubaan penyeludupan yang merugikan ekonomi negara.

Beliau turut meminta orang ramai melaporkan segera kepada Esscom sekiranya melihat sebarang aktiviti mencurigakan serta melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 untuk tindakan lanjut.

–BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan