Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lima sekolah di Kudat, Sandakan ditutup akibat banjir

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU – Sebanyak lima buah sekolah rendah melibatkan 2,250 murid dan 189 guru di daerah Kudat dan Sandakan terpaksa ditutup, hari ini akibat dilanda banjir ekoran hujan berterusan sejak awal pagi semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Jame Alip berkata, sekolah yang terjejas di Kudat ialah sekolah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah (21 orang guru dan 205 orang murid), SK Barambangon (12 guru dan 53 murid), SK Dampirit (15 guru, 120 murid) dan SK Lokoton (21 guru, 231 murid).

Sandakan pula ialah SK Ladang Sandak melibatkan 35 orang guru dan 496 orang murid, terpaksa ditutup kerana jalan masuk ke kawasan sekolah tidak dapat dilalui akibat banjir.

“Sekolah-sekolah itu terpaksa ditutup kerana kawasan sekolah dan laluan ke sekolah itu ditenggalami banjir dan tidak dapat dilalui oleh murid sekolah serta membahayakan keselamatan warga sekolah terutamanya murid sekolah berkenaan.

“Selain itu sebanyak tujuh lagi buah sekolah dinaiki banjir, walau bagaimanapun pembelajaran berjalan seperti biasa iaitu lima buah sekolah di Kudat dan dua lagi di Sandakan.

“Sekolah-sekolah itu ialah SMK Kudat II, SK Tamalang, SJKC Our Lady, SK St.Peter dan SJK(C) St.Peter, masing masing di daerah Kudat dan SK Gum-Gum Batu 14 dan SK Bambangan Sandakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Penyerahan Surat Penempatan Pemangkuan Kenaikan Pangkat dan Penyerahan Surat Perlantikan bagi SISC+ dan SIPartners+ JPNS, di Wisma Pendidikan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Jame mengingatkan semua sekolah yang terpaksa ditutup berikutan banjir supaya menggantikan hari persekolahan itu pada hujung minggu iaitu Sabtu.

“Sekiranya hujan berterusan, saya ingin mengingatkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah yang dilanda banjir bahawa mereka boleh menutup sekolah itu demi keselamatan murid-murid.

“Saya juga meminta kepada sektor pengurusan kemanusiaan JPNS dan PPD di seluruh Sabah agar sentiasa memantau keadaan dan mengaktifkan bilik gerakan tindakan banjir dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Alam di daerah masing-masing,” ujarnya.

Mengenai, Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia, Jame memberitahu, sebanyak RM46.3 juta telah dimasukkan ke dalam akaun sekolah rendah dan menengah seluruh Sabah untuk diagih-agihkan kepada 463,115 pelajar sekolah. – oleh Monica Gidong / SayangSabah

 

Komen


Berita Berkaitan