Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lima Penjawat Awam Positif Dadah Dalam Saringan Air Kencing Secara Rawak Di Johor

positifdadah

JOHOR BAHARU: Lima daripada 274 penjawat awam di negeri ini disahkan positif dadah hasil saringan ujian air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Datuk Ayub Rahmat berkata sehubungan itu, Ketua Jabatan akan mengambil tindakan selanjutnya ke atas penjawat awam berkenaan.

Beliau berkata AADK pula akan membantu mereka melalui program serta latihan yang bakal memfokus kepada cara menangani pengambilan dadah dan sesi kaunseling percuma.

“Mereka juga akan diminta mendapatkan rawatan di Klinik Cure and Care di setiap daerah yang disediakan. Jika mereka tertangkap dalam operasi yang dilakukan oleh pihak berkuasa seperti polis, tindakan tatatertib akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas menutup Majlis Anugerah Kualiti AADK 2013 di sini hari ini.

Pemeriksaan secara rawak itu merupakan antara persiapan kepada saringan ujian air kencing ke atas kesemua 20,000 penjawat awam di Johor awal tahun depan bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah.

Ayub juga berkata usaha kerajaan negeri bukanlah untuk menghukum penjawat awam terbabit sebaliknya lebih kepada menyelamatkan mereka.

“Kita bimbang angka ini akan bertambah sebaik sahaja ujian saringan dilaksanakan sepenuhnya tahun depan,” katanya.

Menyentuh fenomena El-Nino sejak awal Jun dan dijangka berterusan sehingga September, beliau berkata keadaan ini agak membimbangkan dan bakal menyebabkan pembakaran terbuka selain jerebu.

“Apabila cuaca yang begitu kering melanda, ia juga akan mengakibatkan pelbagai penyakit akan merebak seperti denggi. Dalam hal ini, orang ramai perlu menjaga persekitaran tempat tinggal mereka supaya nyamuk tidak dapat membiak,” katanya.

Komen


Berita Berkaitan