Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lima nama dicalonkan Presiden SAFA

MOHD Shafie Apdal – Foto KHAIRULL AZRY BIDIN

 

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal antara lima nama dicalonkan bagi jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang akan mengadakan Kongres Tahunan pada 25 Ogos ini.

Pemangku Presiden SAFA, Datuk Yusoff Kasim, berkata selain Mohd Shafie, empat individu lain yang turut dicalonkan ialah beliau sendiri, Alijus Sipil yang juga Setiausaha Agung SAFA; Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri TC Goh serta ahli perniagaan, Hamid Apdal.

Bagaimanapun, Mohd Shafie dijangka tidak bertanding jawatan itu selepas beliau baru-baru ini membayangkan tidak mahu memegang jawatan tertinggi SAFA atas kesibukan tugas sebagai Ketua Menteri.

“Selepas tarikh tutup pencalonan bagi jawatan presiden pada 28 Julai lalu, kita telah menerima lima pencalonan, namun SAFA akan menghubungi setiap calon bagi mendapatkan maklum balas sama ada mereka menerima pencalonan itu atau tidak,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Yusoff yang juga Naib Presiden SAFA berkata, beliau juga tidak akan bertanding untuk jawatan Presiden namun akan bertanding jawatan Timbalan Presiden selepas turut dicalonkan untuk jawatan itu.

Ini bermakna, beliau akan mengosongkan jawatan Naib Presiden yang kini disandangnya.

Sementara itu, Yusoff berkata, selain beliau, tujuh lagi individu yang dicalonkan bagi jawatan timbalan presiden ialah Alijus, Hamid, Datuk Juil Nuatim, Datuk James Wong, Fredoline Penggo, Datuk Rahman Zakaria dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.

Yusoff berkata, bagi jawatan Naib Presiden, pihaknya menerima 11 pencalonan termasuk daripada kalangan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) SAFA.

SAFA terpaksa mengadakan pemilihan untuk beberapa jawatan penting berikutan peletakan jawatan mantan Presidennya yang juga bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman susulan peralihan kuasa kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Dua jawatan Timbalan Presiden turut kosong selepas penyandangnya Datuk Lawrence Gimbang meletak jawatan manakala satu lagi jawatan kosong berikutan kematian bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. – Oleh Ryan Stanley/BH Online

Komen


Berita Berkaitan