Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lima ADUN UPKO tidak keluar BN

KOTA KINABALU: Tanda tanya dimanakah hala tuju sokongan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menjadi kuasa penentu untuk menubuhkan Kerajaan Negeri Sabah selepas Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) masing-masing memenangi 29 kerusi akhirnya terjawab apabila STAR memilih untuk bergabung bersama dengan BN.

Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan untuk bergabung bersama BN walaupun turut diundang oleh pihak Warisan untuk bergabung bagi membentuk kerajaan negeri.

“Kami bergabung dengan Barisan Nasional untuk menubuhkan kerajaan, dan sudah tentu kami juga mendapat undangan daripada pihak lain namun kami memilih untuk bergabung bersama BN,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di Sri Gaya, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah Tan Sri Musa Aman menegaskan, pilihan Jeffrey bersama penyandang DUN Bingkor Robert Tawik membolehkan BN untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah dengan jumlah terkumpul sebanyak 31 kerusi.

“Maknanya kita mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri, dan saya telah diberikan mandat oleh kesemua 31 ADUN untuk menerajui kerajaan negeri sebagai Ketua Menteri Sabah,”katanya.

Mengulas mengenai dakwaan lima orang ADUN BN dari UPKO yang telah menyertai Warisan, Musa menafikan sekeras-kerasnya bahawa lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UPKO telah menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Menurut Musa, kelima-lima ADUN UPKO itu masih bersama BN dan berdiri kukuh bersama BN untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah.

“Mengenai dakwaan bahawa lima orang ADUN UPKO telah menyertai Warisan,kita menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu kerana kelima-lima ADUN dari UPKO ada bersama-sama kita untuk membentuk Kerajaan Negeri Sabah,”katanya.

Terdahulu, pemangku Presiden UPKO Datuk Seri Panglima Madius Tangau, membuat kenyataan bahawa parti berkenaan telah keluar daripada BN dan bergabung bersama Warisan.

Bagaimanapun, lima ADUN terbabit, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Ewon Benedick (Kadamaian), Datuk Bobbey Ah Fang Suan (Nabawan), Datuk Limus Jury (Kuala Penyu) dan Datuk Masiung Banah (Kuamut) menyatakan pendirian kekal dalam BN./SayangSabah

Musa (tengah) dan Jeffrey (tiga dari Kiri) bersama calon BN ketika sidang media berkenaan. -Gambar Oleh Alex Mairin

Komen


Berita Berkaitan