Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,732

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Letak anggota secara tetap di Batu-Batu elak PATI lolos

9:56am 21/09/2016 Pak Roshan 1981 views Mutakhir,Tawau,Tempatan

ppm tawau

TAWAU: Penduduk di sini menolak dakwaan kononnya kawasan Batu-Batu berhampiran Pasar Besar serta Pusat Kuarantin, Kastam dan Imigresen (KIK) Tawau menjadi lokasi pendaratan ratusan pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia setiap hari.

Seorang penduduk, Sahibu Karim, 60, kawasan berkenaan sudah lama digunakan sebagai lokasi pendaratan penduduk tempatan.

Bagaimanapun beliau menolak dakwaan kononnya ratusan PATI Indonesia mendarat di kawasan itu setiap hari yang disifatkannya tidak munasabah.

“Memang kawasan ini antara lokasi kemasukan PATI, tetapi tidaklah sehingga beratus-ratus orang setiap hari. Ini kerana kawasan ini juga digunakan oleh penduduk tempatan dari Pulau Sebatik untuk turun ke bandar Tawau bagi urusan harian,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah stesen televisyen Indonesia yang mendedahkan secara terperinci bagaimana ratusan PATI mendarat di daerah ini, setiap hari.

Wartawan Indonesia itu juga menyamar sebagai tenaga kerja Indonesia (TKI) untuk masuk secara haram ke Malaysia melalui Tawau, selain mendedahkan bagaimana perjalanan PATI dari negara jiran itu dipermudahkan dengan memberi rasuah antara RM50 hingga RM100 kepada pihak berkuasa negara ini.

Penduduk, Mukhsin Omar, 45, berkata kawasan itu adalah lokasi pendaratan penduduk tempatan yang tinggal di Pulau Sebatik sejak sekian lama kerana lebih dekat, iaitu kira-kira 15 minit dengan bot laju berbanding 30 minit hingga sejam jika mendarat di Tanjung Batu dan Sungai Kalabakan.

Katanya, sebelum ini agensi penguatkuasaan daripada beberapa jabatan secara bersepadu membuat pemantauan dan kawalan, selain menempatkan pegawai dan anggotanya namun secara berkala dan tidak tetap.

“Ketika ada pemantauan, pergerakan keluar masuk penduduk sangat teratur selain dapat menyekat kegiatan penyeludupan terutama barangan bersubsidi seperti petrol dan tong gas petroleum cecair (LPG).

“Selain itu, pihak berkuasa perlu menutup jeti haram di kawasan pesisir pantai yang dijadikan lokasi pendaratan kerana mudah dirapati oleh bot kecil,” katanya kepada BH, semalam.

Difahamkan, kawasan Batu-Batu juga adalah lokasi perahu kecil atau pete-pete menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar kru bot tunda yang berlabuh di perairan Tawau.

Penduduk Pulau Sebatik, Muliyati Muin, 40, berkata sepanjang berulang-alik ke bandar Tawau, pihak berkuasa khususnya polis sering membuat pemeriksaan termasuk di tengah laut.

“Di kawasan Batu-Batu ini, bukan hanya PATI malah warga Indonesia yang ada dokumen lengkap turut mendarat di sini,” katanya. – BH Online

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan