Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lepasan ijazah perlu kemahiran teknikal

mark sayanagsaba

RANAU – Negara menganggarkan sejuta pekerja diperlukan dalam jangka masa lima hingga 10 tahun akan datang untuk menggerakan kegiatan ekonomi yang dirancang rapi agar matlamat menjadi negara maju menjelang 2020 akan tercapai.

Menteri Kebudayaan, Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, sehubungan itu rakyat khusus para belia digesa tidak memilih pekerjaan, sebaliknya mengisi kekosongan peluang pekerjaan tersedia dalam mana-mana sektor.

“Kebanjiran warga asing mencari peluang pekerjaan di negara ini membuktikan terdapat banyak peluang pekerjaan tersedia di negara ini. Negara sebenarnya memerlukan ramai tenaga kerja tempatan untuk tempoh jangka masa panjang.

“Begitpun, pada masa sama kita sering mendengar laporan media massa yang melaporkan bahawa terdapat pengangguran tinggi dalam kalangan siswazah lepasan universiti terutama universiti tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan kerana tiada kemahiran teknikal.

“Keadaan ini secara tidak langsung menyukarkan mereka untuk diserap dalam pasaran kerja di negara ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Graduasi Giatmara Sabah Zon Tiga (Ranau, Kota Marudu, Kota Belud, Kudat dan Tuaran) Sesi 2014 di Dewan Rest House Lohan, Ranau, di sini.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, ini bermakna pendidikan formal sehingga ke peringkat ijazah sekalipun tidak menjamin peluang pekerjaan sekiranya seseorang itu tidak mempunyai kemahiran teknikal dalam bidang diceburi.

Sebaliknya, kata beliau lagi, lepasan institusi latihan yang menawarkan latihan berbentuk kemahiran teknikal agak mudah untuk mendapat pekerjaan kerana kemahiran dan kepakaran mereka menjurus dalam sesuatu bidang tertentu yang diperlukan oleh sektor perindustrian negara.

Oleh itu, ujarnya, pelatih-pelatih yang menerima sijil kemahiran daripada Giatmara diharapkan untuk mengisi peluang peluang pekerjaan dalam kemahiran teknikal yang amat diperlukan oleh sektor perindustrian.

“Secara peribadi, saya amat menyokong penuh usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melalui Giatmara dan Mara yang terus mengambil dan melatih para belia khususnya di daerah ini. Walaupun dengan syarat kemasukan minimum 4M iaitu sekadar pandai membaca, menulis, mengira dan minat untuk mengikut kursus kemahiran yang ditawarkan dalam pelbagai jenis kemahiran.

“Ini kerana usaha murni Giatmara amat releven dan selaras dengan objektifnya iaitu berusaha sedaya upaya untuk memberi latihan dan sokongan kepada belia agar mereka mendapat ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan dan seterusnya mengurangkan penggangguran,” ujarnya. – oleh Sitti Nor Azizah Talata / SayangSabah

Komen


Berita Berkaitan