Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lelaki Pala’u Miliki Potongan Isi Penyu Dipenjara, Denda

TAWAU, 25 Jan – Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM60,000 kepada seorang lelaki Pala’u selepas mengaku bersalah memiliki empat potong isi cengkerang penyu agar.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Karan Dati, 35, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pulau Kerindingan, Semporna pada 14 Jan lepas.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menjalani hukuman itu bermula hari ini dan turut diarah dipenjara setahun lagi sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, pada 1.30 pagi 14 Jan lepas tertuduh didapati memiliki empat potong isi cengkerang penyu agar atau nama saintifiknya Chelonia Mydas iaitu haiwan yang dilindungi dan disenaraikan dalam Bahagian 1, Jadual 1, Nombor 8 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum denda maksimum RM250,000 dan penjara tidak lebih lima tahun menerusi Seksyen 41(4) enakmen sama, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Hidupan Liar (JHL) Abdul Karim Dakog.

Berdasarkan fakta kes, Karan ditahan bersama seorang remaja lelaki berumur 15 tahun oleh sepasukan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang menjalankan operasi Op Pluto Timur di Pulau Kerindingan, Semporna pada 12.30 tengah malam selepas disyaki melakukan kegiatan memburu penyu di perairan itu.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan