Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lelaki Pakistan diburu

lelaki pakistan

KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Ali Farran bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang lebih RM100,000 dari akaun milik empat penumpang Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Izany Abdul Ghani berkata, suspek berusia awal 30-an dan bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal di Pandan Indah.


“Alamat terakhir suspek yang dikesan ialah di Nombor 2B, Lorong Kemajuan Dua Kampung Pandan, Ampang dan kali terakhir dilihat berada di kawasan berkenaan pada hari raya keempat lalu.

“Siasatan lanjut di tempat kerjanya mendapati suspek sudah enam bulan tidak datang bekerja,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Difahamkan, Ali Farran adalah individu yang menerima wang pemindahan sebanyak RM35,000 daripada akaun keempat milik penumpang MH370.


Izany berkata, kelmarin, polis menahan sepasang suami isteri di dua lokasi berbeza di Ampang kira-kira jam 4 petang untuk membantu siasatan.

“Wanita kerani bank berusia 33 tahun ditahan di rumah di Saujana Ampang manakala suaminya yang bekerja sebagai mekanik ditahan di sebuah bengkel di Pandan Indah,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis sudah merakam keterangan enam individu termasuk pengurus bank yang membuat laporan berkenaan.


Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai lelaki warga Pakistan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nor Azmi Mohd di talian 012-7790686.


Maklumat juga boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi Asisten Superintendan Musa Masidi di talian 017-3434060 atau IPD Dang Wangi 03-26002222 untuk membantu siasatan.


Rabu lalu, akhbar melaporkan lebih RM100,000 daripada empat akaun bank milik penumpang MH370 lesap dipercayai dipindah dan dikeluarkan kakitangan bank tanpa kebenaran.


Empat mangsa berkenaan adalah dua penumpang warga China, Ju Kun dan Tian Jun Wei, satu akaun pramugara warga Malaysia, Tan Size Hian dan satu akaun penumpang warga Malaysia, Hue Pui Heng.


Difahamkan, wang daripada tiga akaun mangsa dipindahkan ke akaun milik seorang lagi mangsa tanpa kebenaran melalui e-banking atau pemindahan melalui perbankan Internet.

Komen


Berita Berkaitan