Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lelaki miliki dua ‘pedang samurai’, pisau dihukum penjara lima tahun

12:28pm 02/11/2016 Pak Roshan 152 views Jenayah,Mutakhir
Gambar Hiasan

Gambar Hiasan

TAWAU: Gara-gara ditangkap bersama dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau, seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu rotan di Mahkamah Majistret di sini kelmarin.

Tertuduh Rosli Bako, 33, mengaku salah di hadapan Majistret Ferhanshah Farene Mohd Ferdaus di bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya (pindaan 2014).

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 13 Ogos lepas kira-kira jam 11 malam di kuarters pekerja, Felda Kalabakan.

Dalam kejadian itu seorang saksi menegur tertuduh yang dalam keadaan mabuk cuba membakar bekas plastik berisi minyak petrol di hadapan rumah.

Tertuduh yang enggan menerima teguran itu lalu bertindak naik ke rumahnya dan mengambil sebilah pedang samurai dan pisau lalu mengejar saksi yang telah bertindak melarikan diri ke rumah jiran.

Tertuduh kemudian bertindak naik ke rumah saksi dan mengambil sebilah pedang samurai lain lalu turun semula selepas mendapati saksi tidak berada di dalam rumahnya sambil menjerit-jerit memanggil nama saksi.

Seorang pengadu yang melihat perbuatan tertuduh kemudian memaklumkan kepada polis Kalabakan yang kemudian berjaya memujuk tertuduh lalu menangkapnya bersama dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, ASP Nur Intan Jamin dengan tertuduh turut diperintah menjalani hukuman mulai tarikh tangkap dan diarah dirujuk ke Jabatan Imigresen.

Sementara itu dalam kes berasingan di mahkamah sama, seorang lelaki lain, Amir Sabbara, 44, dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas mengaku salah mendatangkan kecederaan kepada seorang pengadu berusia 26 tahun.

Tertuduh didakwa telah menetak kepala pengadu menggunakan sebilah parang sehingga mengakibatkan luka di kepala dan calar di perut pada 24 Jun lepas kira-kira jam 3 petang di Landau, Kalabakan.

Tertuduh dipercayai melakukan perbuatan itu selepas tidak berpuas hati dengan sikap pengadu yang malas dan sering membohonginya.

Kes pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa yang sama dengan tertuduh juga turut diarah menjalani hukuman mulai tarikh tangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen. – NewSabahTimes

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan