Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, mangsa, Junaidi Sadilah, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Azmir Abd. Razak berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu membelok masuk ke simpang jalan di sebelah kanan sebelum melanggar motosikal yang datang dari arah belakang dipercayai cuba memotong kereta tersebut.

“Kejadian ini menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang simen di sebelah kanan jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disebabkan oleh kecuaian mangsa yang memotong secara berbahaya di garisan berkembar tanpa memberi perhatian terhadap kenderaan lain di hadapannya yang ingin membelok masuk ke simpang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Azmir menambah, keadaan jalan di lokasi kejadian berselekoh, rata, kering, berturap dan terdapat garisan tengah pembahagi jalan berkembar serta keadaan cuaca baik dan cerah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE