Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lelaki ditahan ketika atur pertaruhan bola

ditahan

GEORGETOWN: Seorang lelaki dipercayai bookie Piala Dunia 2014 ditahan polis ketika sedang sibuk mengendalikan urusan pertaruhan menerusi computer sebuah kafe siber di Payang Terubong di sini.

Ketika ditahan, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu sedang mengatur pertaruhan membabitkan perlawanan pertama Piala Dunia di antara Brazil dan Croatia dan beberapa perlawanan yang lain.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata suspek ditahan pada jam 2.45 pagi di kafe siber berkenaan oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL).

“Polis menahan lelaki ini hasil maklumat awam yang diterima. Daripada pemeriksaan ke atas suspek, kita menemui wang tunai berjumlah RM1,990 dalam poket seluarnya yang dipercayai wang pertaruhan yang dibuat.

“Suspek kemudian dibawa ke IPDTL dan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1963,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat Inspektor ke Asisten Superintendan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nasir Salleh.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, polis sudah menubuhkan pasukan khas bagi memantau kegiatan perjudian bola sepak sepanjang perlawanan bola sepak Piala Dunia 2014 di seluruh negeri.

Beliau berkata, pasukan khas itu akan digerakkan bagi membanteras kegiatan berkenaan termasuk jenayah lain yang berkaitan dan polis turut melakukan risikan bagi mengenal pasti sindiket tertentu yang menganjurkan pertaruhan.

Abdul Rahim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di talian 04-2221522 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Komen


Berita Berkaitan