Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Mahkamah : Lelaki Dakwa Malaysia Langgar Undang-undang Halang Wartawan Masuk Kampung Tanduo

B5117

KOTA KINABALU : Seorang individu tidak dikenali yang menggunakan telefon bimbit suspek dalam insiden pencerobohan Lahad Datu mendakwa kerajaan Malaysia telah melanggar undang-undang dengan melarang wartawan daripada memasuki Kampung Tanduo, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Pegawai Penyelia Unit Pemintasan Komunikasi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ASP Muhammad Fauzairi Jaidin berkata dalam perbualan telefon jam 7.44 malam yang dipintas oleh unitnya pada 20 Feb, 2013, lelaki digelar polis sebagai ‘Lelaki Sabah 2’ yang menggunakan telefon bimbit bernombor 019-7569906 milik suspek Basil Samiul, berpendapat bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya memberi kebenaran kepada wartawan untuk memasuki kampung itu yang digempur oleh kumpulan bersenjata Sulu supaya dunia luar tahu tentang tuntutan ‘sultan’ ke atas Sabah.

“Lelaki Sabah 2 memberitahu Lelaki Sabah 1 bahawa kerajaan Malaysia telah melanggar undang-undang kerana sepatutnya wartawan diberi kebenaran tidak kira apa jua keadaan,” katanya.

Muhammad Fauzairi berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan itu kira-kira dua tahun lepas.

Beliau menerangkan tentang kandungan komunikasi dipintas yang dilakukan oleh unitnya selepas mendapat kebenaran untuk berbuat demikian daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam perbualan telefon sebelumnya, saksi itu berkata seorang yang bernama ‘Raja Muda Agimuddin’ memberitahu Basil bahawa aduan akan dikemukakan terhadap Malaysia jika ibu pejabat stesen televisyen asing Al Jazeera mendapat tahu bahawa wartawannya dihalang daripada membuat liputan mengenai penceroboh di Kampung Tanduo.

Pegawai Cawangan Khas itu berkata Basil memberitahu ‘Raja Muda Agimuddin’ bahawa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah menyatakan bahawa apa yang digelar raja muda dan apa dikenali sebagai tentera Kesultanan Sulu akan dihantar balik ke tempat mereka datang.

“Raja bertegas tidak mahu balik, walau apa yang Malaysia lakukan dan isu ini telah sampai di peringkat dunia,” kata saksi itu.

Beliau juga berkata Basil memberitahu ‘Raja Muda Agimuddin’ bahawa Pesuruhjaya Polis Sabah telah mengeluarkan arahan untuk menyekat semua penghantaran bekalan makanan kepada ‘Raja Muda Agimuddin’.

Sementara itu, Muhammad Fauzairi berkata Basil memberitahu ‘Raja Muda Agimuddin’ dalam perbualan telefon pada 24 Feb, 2013 bahawa beliau menerima maklumat seorang bernama Datu Omar Datu Bachtiar di Kota Kinabalu bahawa kerajaan Malaysia menawarkan ganjaran RM200,000 kepada sesiapa yang menangkap lelaki dikenali sebagai raja muda dan ganjaran dalam jumlah yang berbeza akan ditawarkan bagi penangkapan ‘Komander Haji Musa’ dan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Majid’.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 6 April.

— BERNAMA

Komen


Berita Berkaitan