Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,637

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih seribu pengayuh basikal bakal sertai program kayuhan Hari Kebangsaan

2:12pm 31/08/2016 Leolerry Lajius 67 views Kota Kinabalu,Tempatan

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 pengayuh basikal sekitar bandar raya ini dijangka akan menyertai program kayuhan Hari Kebangsaan 2016 pada 10 September depan.
Penolong Pengarah Kanan Biro Tatanegara (BTN) Sabah Mohammad Syahffie Japril berkata, program kali kedua itu akan membabitkan laluan sejauh 33.3 kilometer yang bermula daripada Padang Merdeka dan mengelilingi beberapa buah kawasan menarik di bandaraya Kota Kinabalu.
“Sudah pasti objektif penganjuran progran kayuhan ini adalah bagi meningkatkan dan menyemai semangat patriotik di kalangan warga Malaysia khususnya di Sabah dengan berkayuh mengelilingi beberapa buah kawasan menarik di bandar raya ini.
“Selain itu, aktiviti sukan ini berupaya menjalin dan memperkukuhkan hubungan pemimpin utama negeri, agensi kerajaan bersama masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai lapisan kaum dan agama,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Dr Kassim Mohd Ibrahim di Wisma Pendidikan disini, semalam.

SYAHFFIE menyampaikan baju kepada wakil JPNS.

SYAHFFIE menyampaikan baju kepada wakil JPNS.

Mohammad Syahffie berkata, aktiviti itu turut meningkatkan hubungan strategik, kerjasama dan persefahaman agensi kerajaan negeri dan persekutuan bagi menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Selain menghayati erti kemerdekaan, aktiviti seumpama ini mampu melahirkan masyarakat Malaysia yang bukan sahaja patriotik kepada negara malah memiliki minda yang cerdas melalui aktiviti sukan.
“Kita lihat pada tahun ini sambutan peserta semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya apabila ia turut disertai oleh golongan muda,”katanya.
Katanya, majlis pelepasan dan perasmian dijangka akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman bertempat di Padang Merdeka.
Terdahulu, program anjuran jawatankuasa sambutan Hari Kebangsaan negeri Sabah itu turut dikelolakan oleh BTN Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).
Dalam perkembangan lain, Mohammad Syahffie berkata, sebanyak 30 buah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) terpilih seluruh Sabah akan menjayakan program kibar Jalur Gemilang dan bicara merdeka peringkat negeri Sabah.
Katanya, program itu akan turut melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah berkenaan bagi menyemarakkan semangat patriotik dikalangan masyarakat setempat.
“Kami memilih JPNS kerana jabatan ini adalah rakan strategik yang berupaya menyemai semangat patriotisme dikalangan pelajar sekolah,”katanya./SayangSabah

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan