Kota Kinabalu
Kota Kinabalu
Sandakan
Tawau
Lahad Datu
Keningau
Putatan
Semporna
Kudat
Papar
Ranau
Beaufort
Kota Belud

Sayang Sabah - Berita Negeri Kita

Lebih RM5 bilion jika royalti 20 peratus

MOHD Shafie (dua dari kiri) ketika hadir pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-15 di Bangunan DUN Sabah, di Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

 

KOTA KINABALU: Sabah disasar menerima tidak kurang RM5 bilion jika tuntutan royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus diminta kerajaan negeri daripada kerajaan Pusat dilaksanakan sepenuhnya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ia berdasarkan kaedah pengiraan sedia ada dan panduan pengiraan yang diberikan PETRONAS bagi bayaran royalti lima peratus untuk tahun ini yang berjumlah RM1.318 bilion.

“Bagaimanapun, ia cuma satu gambaran saja dan dengan andaian bahawa kaedah pengiraan (bayaran royalti) sekarang adalah kekal seperti sedia ada,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Joachim Gunsama (PBS-Kundasang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.

Ia berkaitan peningkatan kewangan yang bakal diperoleh kerajaan negeri selepas menaikkan royalti minyak dan gas kepada 20 peratus daripada lima peratus sekarang.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata berdasarkan maklum balas PETRONAS, jumlah bayaran tunai hasil minyak dan gas pada masa depan adalah bergantung kepada pelbagai faktor yang sukar dijangkakan.

“Antara faktor itu ialah mekanisme dan asas peningkatan bayaran tunai yang perlu dibincang dan diputuskan oleh pihak terbabit serta anggaran kadar pengeluaran minyak dan gas.

“Faktor lain yang diambil kira ialah pelan pembangunan lapangan minyak dan gas baharu yang lebih kompleks kerana membabitkan pembangunan lapangan di laut dalam dan harga pasaran minyak mentah dunia,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Joachim, Mohd Shafie berkata, Sabah hanya menerima antara RM60 juta hingga RM70 juta setahun sejak 1970-an hasil daripada royalti minyak sebanyak lima peratus yang diberi kerajaan Pusat.

Katanya, jumlah tertinggi bayaran berdasarkan kadar royalti lima peratus ialah pada tahun lalu iaitu kira-kira RM1.1 bilion, manakala tahun ini dianggarkan RM1.3 bilion bakal diterima kerajaan negeri berdasarkan harga pasaran minyak semasa.

Bagi mengukuhkan lagi tuntutan 20 peratus royalti terhadap hasil minyak dan gas, katanya, kerajaan negeri akan membentangkan satu enakmen berkaitan sumber asli sebagai asas undang-undang seperti dilaksanakan di Sarawak.

“Sekarang, kita hanya ada Enakmen Tanah tetapi ia terbatas kerana luar pesisir kita tiada kuasa. Saya beri jaminan kita akan usaha sebaik yang boleh supaya hasil kita akan dapat ditingkatkan daripada RM1.3 bilion yang sedia ada,” katanya. – Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah dan Kristy Inus/BH Online

Komen


Berita Berkaitan