Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,658

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih RM380 Juta Bagi Tingkatkan Keupayaan Pengeluaran Padi Di Sabah

7:09pm 20/03/2016 Pak Roshan 24 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan
gambar hiasan

gambar hiasan

KOTA BELUD : Sebanyak RM380.8 juta diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran padi di Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi memenuhi keperluan rakyat di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pada masa ini, Sabah mengeluarkan sebanyak 2.8 tan metrik padi sehektar yang dianggap lebih rendah daripada purata negara sebanyak lima tan metrik.

“Saya berpuas hati dengan beberapa perkembangan yang telah dimulakan sejak awal, terutamanya dalam melaksanakan projek-projek di bawah RMK-11 dan RM380.8 juta diperuntukkan bagi pembangunan pengeluaran padi pelbagai peringkat.

“Selain pembinaan sebuah kompleks pejabat, paling penting ialah pembangunan sistem pengairan yang diperlukan bagi kawasan jelapang padi di Kota Belud ini menerusi Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melawat syarikat pemborong beras Teguh Gemilang Bistari Sdn Bhd di sini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Senator Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli.

Ahmad Shabery juga berkata jelapang padi yang dibangunkan di Kota Belud oleh IADA ini meliputi kawasan seluas 8,500 hektar.

Dalam pada itu, katanya industri pengeluaran beras dunia sedang mengalami lebihan beras di pasaran dan masalah itu turut dialami oleh pengeluar beras di Kedah.

“Kita sedang berusaha untuk mengimbangi tentang soal pasaran dan keadaan ekonomi padi di seluruh dunia.

“Kalau kita cepat mengambil beras import, ia boleh memberi kesan kepada petani kita,” katanya.

Mengenai cuaca panas yang memberi kesan kepada hasil pertanian, Ahmad Shabery berkata pelbagai langkah sedang dilaksanakan untuk menangani masalah itu.

Katanya kajian berbentuk ramalan akan dilaksanakan untuk menentukan kesan kepada pengeluaran makanan negara akibat cuaca panas yang berterusan pada masa akan datang.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan