Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,769

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Jangan jadikan kemiskinan abai pendidikan anak-anak

4:37pm 27/10/2016 Leolerry Lajius 38 views Pendidikan,Sandakan,Tempatan
Samsudin menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

Samsudin menyerahkan sumbangan kepada salah seorang penerima.

SANDAKAN: Ibu bapa diseru agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai alasan untuk mengabaikan pendidikan anak-anak.

Adun Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, ibu bapa sepatutnya menjadikan pendidikan sebagai agenda penting untuk mengangkat status keluarga masing-masing

Beliau juga menegur sikap segelintir ibu bapa yang lebih mementingkan perkara lain termasuk rokok daripada menyediakan buku pelajaran anak-anak sedangkan pelajaran merupakan aset penting bagi menjamin masa depan.

”Keluarga dari kaum lain sangat berusaha memajukan keluarga mereka melalui pendidikan berikutan kerajaan menyediakan prasarana pendidikan yang bertaraf dunia untuk rakyatnya ini,” katanya ketika berucap sempena Program ‘We Care’ Puteri Prihatin di Sandakan kelmarin.

Turut hadir sama Ketua Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani dan ahli jawatankuasa Puteri UMNO Batu Sapi.

Menurut Samsudin, kerajaan Barisan Nasional telah menyediakan pelbagai peruntukan untuk pendidikan dan tidak ada alasan untuk ibu bapa tidak mengutamakan pendidikan sebagai agenda utama.

Tambah beliau pada pembentangan Bajet 2017 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lepas, membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memenuhi keperluan pendidikan rakyat semua kaum.

“Pelajar datang dari keluarga miskin jangan sesekali berhenti sekolah,  hadapi cabaran dengan tabah agar dapat menjadi insan berjaya di kemudian hari.

“Saya faham ia bukan suatu perkara yang mudah, sebagai ibu bapa juga harus berkorban untuk memberikan pendidikan terbaik kepada anak-anak,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam pendidikan anak-anak.

“Kita mempunyai sekolah terbaik, pengajar terbaik, pelajar terbaik dan kemudahan yang lengkap, tetapi paling penting adalah penglibatan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak.

“Sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa mengawasi tingkah laku dan disiplin anak-anak untuk menjadikan mereka seorang yang berjaya dan bertanggunjawab di kemudian hari,” ujarnya.

Jelasnya, sekolah bukan sahaja tempat untuk menimba ilmu, ia juga merupakan tempat untuk golongan muda meningkatkan perkembangan diri.

Dalam majlis itu, Ketua Puteri UMNO Batu Sapi, Hazulizah Mohd Dani berkata pada program kali ini We Care ‘Puteri Prihatin’ merupakan kesinambungan beberapa program yang diadakan untuk mengenal pasti pengundi wanita muda dan juga mendaftar mana-mana wanita muda dan generasi yang belum mendaftar sebagai pengundi.

Di zon kepulauan dalam Dun Sekong Puteri UMNO Batu Sapi telah menjelajah ke Pulau Tronglit, Pulau Sirabut dan Kampung Baru untuk menyampaikan sumbangan kepada 47 penerima iaitu 3 buah mesin basuh, sumbangan beg sekolah kepada 32 pelajar sekolah rendah, barangan dapur kepada 12 orang penerima,

Sementara itu, di Dewan Segaliud, Puteri UMNO Batu Sapi turut mengagih-agihkan sumbangan kepada 40 orang penerima dengan menyerahkan  lima buah mesin basuh dan 35 buah beg sekolah untuk murid-murid SK Segaliud, Sandakan./SayangSabah

Ceria...We Care Puteri Prihatin bersama murid-murid sekolah dengan beg sekolah masing-masing.

Ceria…We Care Puteri Prihatin bersama murid-murid sekolah dengan beg sekolah masing-masing.

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan