Sayang Sabah Facebook

Likes
Sayang Sabah Twitter

11,642

Followers

Sayang Sabah - Portal Berita Negeri Kita

Lebih 90 Peratus Peminjam Yayasan Usaha Maju Bayar Balik Pinjaman – Musa

11:16pm 04/12/2015 Pak Roshan 219 views Kota Kinabalu,Mutakhir,Tempatan,YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman
Datuk Musa Aman

Datuk Musa Aman

KOTA KINABALU : Lebih 90 peratus peminjam Yayasan Usaha Maju (YUM), sebuah badan pinjaman mikro di Sabah, telah membuat pembayaran balik pinjaman mereka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Musa melahirkan rasa bangga kepada para peminjam yayasan yang majoritinya wanita kerana berhati waja, bertanggungjawab serta berkeupayaan membayar balik pinjaman mereka walaupun hanya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Katanya bukan sesuatu yang mudah mencapai peratusan kadar bayaran balik pinjaman seumpama itu kerana kebanyakan agensi atau institusi kredit menghadapi masalah apabila rata-rata peminjamnya tidak mahu membayar balik pinjaman.

“Walaupun tidak mempunyai keuntungan banyak, namun, mereka (peminjam) masih mampu membayar semula pinjaman,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam YUM di sini, Jumaat malam.

Musa berkata bayaran balik pinjaman adalah amat penting bagi membolehkan yayasan menggunakan wang untuk diberikan kepada usahawan lain yang memerlukan bantuan membangunkan perniagaan.

Katanya jika peminjam tidak membayar balik pinjaman berkemungkinan sesebuah yayasan atau institusi kewangan akan muflis atau ditutup kerana tiada duit pusingan untuk berkembang.

Musa juga berkata kerajaan negeri terus komited memastikan YUM berfungsi dan memainkan peranan melahirkan lebih ramai usahawan wanita berjaya hasil bimbingan yayasan itu sekali gus membantu rakyat menjana pendapatan.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YUM Datuk Pengiran Hassanel Pengiran Mohd Tahir berkata YUM telah mengagihkan sebanyak RM283 juta pinjaman, sehingga Okt tahun ini.

Beliau berkata dalam tempoh sama, yayasan itu mencatat 97.24 peratus kadar bayaran balik pinjaman daripada peminjam.

Katanya yayasan itu juga telah memanfaatkan lebih 30,000 wanita dari luar bandar di seluruh Sabah yang membuat pinjaman seterusnya mendapat manfaat daripada Program Pinjaman YUM.

“Sebilangan besar mereka telah berjaya keluar daripada garis kemiskinan malah mempunyai perniagaan sendiri seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.

— BERNAMA

Apa Komen dan Pendapat Anda

Artikel Berkaitan